Pegawai, anggota polis ditahan peras ugut

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai dan tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat ditahan selepas disyaki terbabit dengan kes pemerasan terhadap pengurus kilang perabot di Batu Pahat, Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Picthay, berkata siasatan mendapati pengurus kilang berusia 50 tahun itu diugut untuk memberi wang sejumlah RM1,500.

Ia sebagai balasan kepada pegawai kanan dan tiga anggota polis terbabit untuk tidak mengambil tindakan ke atas pekerja asing di kilang perabot itu yang tidak mempunyai dokumen sah.

Ayob Khan berkata, pengurus kilang berkenaan tidak dapat menyediakan jumlah diminta sebelum pegawai dan anggota terbabit didakwa bersetuju dengan wang sebanyak RM1,000.

“Pengurus kilang itu menyerahkan wang berkenaan kepada pegawai dan tiga anggota polis berkenaan yang kemudiannya beredar dari lokasi tanpa mengambil tindakan terhadap pekerja asing terbabit.

“Susulan laporan polis yang dibuat pengurus kilang berkenaan, atas pegawai dan anggota polis berusia antara 26 hingga 46 tahun itu ditahan Khamis lalu.

“Mereka direman bermula 8 hingga 9 April lalu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan berhubung kes ini sedang dikemas kini dan mereka mungkin didakwa di mahkamah hujung minggu ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pegawai dan tiga anggota polis terbabit dipercayai sudah lama menjalankan kegiatan pemerasan dengan menjadikan kilang di Batu Pahat sebagai sasaran mereka.

“Semua suspek ini dipercayai memungut cukai pintu dan pergi ke kilang-kilang untuk melakukan pemerasan, cuma kali ini mangsa buat laporan polis.

“Saya harap masyarakat terus menyalurkan maklumat kepada saya kerana saya akan ambil tindakan.

“Kalau buat laporan kepada ketua polis daerah tetapi tidak diambil tindakan, saya akan ambil tindakan ke atas ketua polis daerah itu,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427