PDRM guna lampu solar di sekatan jalan malam

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menggunakan lampu solar dalam operasi sekatan jalan raya pada waktu malam di seluruh negara bagi menggantikan alat jana elektrik tidak lama lagi.

Pengarah Logistik dan Teknologi, Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata ketika ini peralatan itu dalam peringkat ujian namun PDRM melihat penggunaan lampu solar lebih praktikal kerana mudah dibawa selain mampu membekalkan cahaya selama 12 jam.

“Peralatannya kini dalam tempoh percubaan dan mengambil masa dua minggu sebelum diputuskan untuk digunakan atau tidak.

“Setakat ini keberkesanannya pada tahap 50 peratus namun ia masih di peringkat ujian dan kita perlu uji lagi untuk jangka masa panjang,” katanya pada sidang media selepas majlis makan malam Koperasi PDRM dan Kumpulan KOP Mantap Berhad ke Zon Selatan di Hotel Mutiara, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Peralatan lampu solar itu dihasilkan di luar negara tetapi dibekalkan Koperasi PDRM dan KOP Mantap dan pemasangan dilakukan syarikat tempatan.

Mazlan berkata, lampu solar amat diperlukan PDRM di sekatan jalan yang tiada bekalan elektrik bagi membantu anggota bertugas dan dapat mengelak berlaku kemalangan.

-BERITA HARIAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427