Pastikan rumah selamat ketika pulang beraya

Estimate Reading Time: 2 minutes

CUTI panjang sempena Aidilfitri kali ini pastinya dimanfaatkan sebaiknya masyarakat khususnya umat Islam untuk pulang beraya ke kampung halaman. Namun, aspek keselamatan harta benda dan kediaman perlu dititikberatkan bagi mengelak risiko kecurian dan kebakaran.

Seperti sudah menjadi kelaziman apabila tibanya musim perayaan, kes kecurian dan kebakaran meningkat. dengan jumlah kes dilaporkan lebih tinggi berbanding kebiasaan.

Hal ini berlaku ada kaitan dengan sikap sebahagian masyarakat kurang mengambil berat atau cuai terhadap aspek keselamatan harta dan kediaman, sekali gus menjadi faktor peningkatan kes kecurian dan kebakaran pada musim perayaan.

Masyarakat diingatkan mengambil langkah berwaspada sepanjang tiada di rumah dengan tidak meninggalkan wang tunai dan barangan kemas di kediaman masing-masing. Sikap cuai dan kurang mengambil berat keselamatan harta benda menyebabkan kerugian lebih besar perlu ditanggung sekiranya rumah dipecah masuk penjenayah. Justeru, pemilik kediaman perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko kecurian dan kebakaran.

Bagi menangani masalah ini, antara langkah boleh dilakukan pemilik rumah atau kediaman adalah memasang kamera litar tertutup (CCTV), alat penggera keselamatan dan jeriji keselamatan bagi meningkatkan tahap keselamatan kediaman.

Selain itu, masyarakat perlu memastikan pintu dan tingkap rumah sentiasa berkunci sebelum pulang ke kampung atau bercuti. Pemasangan lampu tetapan masa di dalam dan di luar rumah antara langkah berkesan mengurangkan risiko kecurian.

Pemilik rumah juga tidak perlu meninggalkan sebarang nota atau memuat naik status di media sosial aktiviti mereka ketika tidak berada di kediaman bagi mengelak insiden pecah rumah. Ia termasuk menghentikan sementara langganan akhbar ke rumah atau pembelian dalam talian.

Aktiviti cegah jenayah seperti rondaan dan kawalan keselamatan di kawasan kediaman atau taman perumahan perlu dipertingkatkan antara usaha mencegah kejadian pecah rumah ketika musim perayaan menerusi kaedah rondaan sukarela.

Bagi mengurangkan risiko kebakaran, masyarakat diingatkan supaya memastikan semua suis peralatan dan perkakas elektrik tidak digunakan ditutup serta palam dicabut bagi mengurangkan risiko kebakaran, selain jimatkan bil elektrik.

Bagi pengguna mesin penapis air elektrik, penting untuk menutup suis mesin berkenaan sebagai langkah mencegah kebakaran. Selain itu, kepala gas memasak di dapur juga perlu ditanggalkan sebelum meninggalkan kediaman.

Setiap kali musim perayaan juga, aktiviti bermain mercun dan bunga api juga menjadi kelaziman. Sebaiknya kebiasaan ini dihadkan atau dilarang kerana ia bukan sahaja berisiko menyebabkan kecederaan, malah boleh menyebabkan kebakaran dan kemusnahan harta benda.

Umumnya, risiko kecurian dan kebakaran boleh berlaku pada bila-bila masa apatah lagi jika berlaku pengabaian aspek keselamatan harta benda dan kediaman. Justeru, masyarakat perlu mengambil tanggungjawab menjaga keselamatan harta benda daripada risiko kecurian dan kebakaran.

Pensyarah Insurans dan Pengurusan Risiko, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427