Pasaran kewangan domestik catat prestasi bercampur-campur pada Sept 2020

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 30 Okt — Pasaran kewangan domestik mencatatkan prestasi bercampur-campur pada September, susulan gabungan faktor dalam dan luar negara, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Ia berkata di peringkat global, jangkaan terhadap dasar monetari yang akomodatif dan berpanjangan dalam ekonomi maju secara amnya menyokong aktiviti mencari keuntungan di rantau ini.

“Hal ini menyebabkan aliran masuk bukan pemastautin ke dalam pasaran bon domestik dan kadar pertukaran menambah nilai sebanyak 0.4 peratus pada September.

“Pasaran bon kerajaan terus disokong oleh aliran masuk ini, manakala kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia 10 tahun meningkat sebanyak 4.5 mata asas,” menurut BNM dalam Sorotan Bulanan – September 2020 bagi Perkembangan Monetari dan Kewangan yang dikeluarkan hari ini.

BNM berkata sementara itu FBM KLCI menyusut sebanyak 1.3 peratus pada September, sejajar dengan penurunan menyeluruh dalam pasaran ekuiti global.

“Sentimen pasaran ekuiti menjadi berhati-hati berikutan jangkaan sekatan pergerakan kali kedua di Eropah dan kebuntuan politik berhubung pakej rangsangan fiskal Amerika Syarikat yang seterusnya mendorong kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi global,” menurut bank pusat.

BNM juga berkata permodalan sistem perbankan kekal kukuh

Sistem perbankan terus berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi kejutan makroekonomi dan kewangan serta terus menyokong aktiviti pengantaraan dengan paras permodalan yang kekal kukuh, menurutnya.

“Pada September 2020, lebihan penampan modal bank-bank berjumlah RM123.7 bilion,” kata BNM.

Ia merujuk kepada jumlah modal melebihi tahap pengawalseliaan minimum, serta termasuk penampan pengekalan modal (2.5 peratus) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi.

Bank pusat juga berkata pertumbuhan pembiayaan bersih meningkat kepada 4.4 peratus pada September (Ogos: 4.2 peratus), didorong terutama oleh pertumbuhan bon korporat terkumpul yang lebih tinggi (September: 4.3 peratus, Ogos: 3.9 peratus).

Terbitan bon korporat meningkat pada bulan itu, mencerminkan terbitan yang besar oleh entiti berkaitan dengan kerajaan, katanya.

Ia berkata pinjaman terkumpul terus berkembang sebanyak 4.4 peratus (Ogos: 4.4 peratus).

“Peningkatan ini disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman isi rumah sebanyak 5.2 peratus (Ogos: 4.8 peratus) berikutan pengeluaran pinjaman yang berterusan untuk pembelian harta kediaman dan kereta penumpang,” menurutnya.

BNM berkata pertumbuhan pinjaman perniagaan terus sederhana kepada 2.7 peratus (Ogos: 3.3 peratus) ekoran penguncupan pengeluaran pada kadar yang lebih pantas berbanding dengan bayaran balik pinjaman.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427