Pasangan kekasih didakwa curi barangan inap desa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN- Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini secara berasingan, atas tuduhan mencuri barangan elekrik dan perkakas dari sebuah inap desa di sini, awal bulan ini.

Tertuduh, Siti Farah Noraisah Hussin, 23, yang beralamat di Bukit Setongkol di sini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Dia yang bekerja sendiri didakwa mencuri sebuah televisyen 40 inci bersama alat kawalan jauh jenama Sony dan sebuah seterika berserta papan penggosok antara 6 hingga 7 pagi, 1 Dis lepas di sebuah inap desa di Bukit Istana di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Siti Farah Noraisah yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menetapkan jaminan yang rendah atas alasan hanya memperoleh pendapatan bulanan sekitar RM800.

Najwa membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jan depan sebagai sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam.

Di mahkamah sama, teman lelaki Siti Farah Noraisah, Nor Affiffudin Mat Nordin, 19, mengaku tidak bersalah atas tuduhan membantu memindahkan barangan tersebut pada masa dan tempat yang sama.

Pendakwaan terhadap Nor Affiffudin dijalankan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Najwa membenarkan tertuduh yang beralamat di Taman Alam Perdana di sini, dibebaskan dengan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jan depan sebagai sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh ditangkap pada 4 Dis lalu, iaitu sehari selepas pemilik inap desa itu membuat laporan polis berhubung kehilangan barangan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427