BANGKOK- Parti pembangkang Thailand, Parti Future Forward (FFP), hari ini memecat empat Ahli Parlimen (MP) yang telah secara berterusan mengundi yang tidak memihak kepada parti itu di Parlimen.
Dalam kenyataan hari ini, FFP berkata “parti sebulat suara bersetuju untuk memecat empat MP daripada parti”.
Empat MP berkenaan ialah Charuek Sri-on dan Pol Lt Col Thanapat Kittiwongsa daripada Provinsi Chanthaburi, Kawinnart Takee (Chon Buri) dan Srinuan Boonlue (Chiang Mai). Mereka telah mengundi yang tidak memihak kepada parti itu di Dewan Rakyat lebih daripada sekali.
Empat MP itu mempunyai tempoh 30 hari untuk menyertai parti baharu atau kehilangan kerusi mereka.
Pemerhati politik berkata keempat-empat mereka mungkin menyertai parti lawan.
Ketika ini, Parti Palang Pracharat (PPRP) yang menerajui pentadbiran kerajaan mempunyai majoriti tipis dalam 500 kerusi Dewan Rakyat di Parlimen dan kerajaan berdepan tugas sukar untuk meluluskan undang-undang penting.
Dalam pilihan raya umum pada Mac lepas, FFP menduduki tempat ketiga selepas meraih 6.2 juta undi dan memenangi 80 kerusi di Parlimen dan menjadi sebahagian blok pembangkang.
Ketika ini, FFP mempunyai 76 MP di Dewan Rakyat.- BERNAMA