Pangsapuri Idaman Cahaya tawar kediaman serendah RM250,000

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) dengan kerjasama MGB Bhd (MGB) melancarkan projek pangsapuri Idaman Cahaya, fasa ketiga projek Rumah Idaman MBI di Cahaya Alam, di sini.

PNSB adalah anak syarikat kerajaan negeri Selangor di bawah seliaan Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (MBI) manakala MGB adalah anak syarikat LBS Bina Group Bhd (LBS).

Idaman Cahaya dibangunkan di atas dua bidang tanah, 1.91 hektar bagi Idaman Cahaya 1 dan 3.04 hektar (Idaman Cahaya 2) dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM 394 juta.

Projek itu menyediakan pilihan rumah mampu milik dengan variasi susun atur dan harga menarik bermula RM250,000 seunit.

Setiap daripada 568 unit di Idaman Cahaya direka eksklusif bagi memenuhi keperluan pemilik rumah moden, lengkap dengan peralatan penting seperti penyaman udara, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen, kabinet televisyen dan pemanas air.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri sentiasa komited terhadap kesejahteraan penduduk dengan penyediaan rumah yang berkualiti, selesa dan lengkap dengan kemudahan penting.

Beliau turut menekankan lokasi yang strategik, harga mampu milik dan unit rumah yang separa lengkap dengan perabot bagi projek Rumah Idaman Cahaya dan Idaman Sari menjadi tarikan utama kepada bakal pembeli hartanah.

“Saya yakin terhadap kejayaan Idaman Sari, Idaman Cahaya, dan pembangunan Rumah Idaman MBI yang lain, sebagai komitmen mereka untuk memenuhi keperluan perumahan individu yang bekerja dan keluarga muda di samping meningkatkan kualiti hidup penduduk Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pecah tanah Idaman Cahaya di sini, hari ini. Yang turut hadir Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Sementara itu Raja Ahmad Shahrir berkata, pihaknya menekankan komitmen PNSB untuk terus membangunkan Rumah Idaman di lokasi penting berprospektif tinggi di Selangor, termasuk di daerah-daerah Petaling, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“PNSB turut sama berkolaborasi di dalam membina sejumlah 22 buah projek lagi dengan kerjasama strategik pemaju-pemaju perumahan yang bereputasi.

“Sebanyak 2,059 unit Idaman Abadi di Kajang 2 telahpun siap dibina, manakala baki enam pembinaan untuk 5,596 unit di empat daerah lain sedang pesat dibangunkan,” katanya.

Projek Rumah Idaman MBI adalah inisiatif usahasama di antara MGB dan PNSB Construction Sdn Bhd, anak syarikat PNSB, menyasarkan matlamat untuk membina 7,210 unit rumah mampu milik, dengan teknologi pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) MGB.

Tanggungjawab pembinaan Idaman Cahaya dan Idaman Sari terletak sepenuhnya di bawah seliaan Konsortium PCSB-MGB. MGB turut komited untuk melancarkan Idaman Cahaya dan Idaman Sari dengan kadar pengambilan sebanyak 100 peratus pada hari pecah tanah terbabit.

Kriteria kelayakan umum bagi Projek Rumah Idaman MBI adalah termasuk warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang telah bekerja atau menetap di Selangor.

Kriteria tambahan termasuk pendapatan isi rumah di bawah RM10,000 sebulan dan tiada pemilikan hartanah terdahulu di Selangor.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427