Palestin, Hamas sambut baik waran tangkap ICC terhadap Netanyahu

Estimate Reading Time: 2 minutes

RAMALLAH: Pihak Berkuasa Palestin dan pejuang Hamas menyambut baik waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, berhubung perang di Gaza.

ICC menyatakan pihaknya sudah mendapat asas yang munasabah untuk mempercayai bahawa Netanyahu dan Gallant memikul tanggungjawab terhadap jenayah perang kelaparan sebagai kaedah peperangan, serta jenayah terhadap kemanusiaan iaitu pembunuhan, penganiayaan dan tindakan tidak berperikemanusiaan.

Keputusan ICC itu mewakili harapan dan keyakinan terhadap undang-undang antarabangsa serta institusinya, menurut kenyataan Pihak Berkuasa Palestin, sambil menggesa negara anggota ICC untuk memutuskan ‘hubungan dan pertemuan’ dengan Netanyahu atau Gallant .

Kenyataan Pihak Berkuasa Palestin, yang mempunyai kawalan pentadbiran separa di Tebing Barat yang diduduki Israel, tidak menyebut langsung mengenai waran dikeluarkan semalam untuk Ketua Tentera Hamas, Mohammed Deif, berhubung jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Israel mendakwa ia sudah membunuh Deif di Gaza pada bulan Julai, namun Hamas belum mengesahkan kematiannya.

Kumpulan itu, dalam kenyataan mengenai keputusan ICC juga tidak menyebut mengenai Deif, sebaliknya hanya menyatakan bahawa waran untuk pemimpin Israel itu adalah ‘langkah penting menuju keadilan dan boleh memberi ganti rugi untuk mangsa secara keseluruhan’.

“Namun ia tetap terhad dan bersifat simbolik jika tidak disokong dengan sepenuhnya oleh semua negara di seluruh dunia,” kata ahli biro politik kumpulan itu, Bassem Naim.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menyifatkan waran tangkap ICC terhadap pemimpin tertinggi Israel sebagai ‘tercela’ dalam satu kenyataan semalam. .

“Apa pun yang mungkin dimaksudkan oleh ICC, tidak ada persamaan – tiada sama sekali – antara Israel dan Hamas. Kami akan sentiasa berdiri bersama Israel untuk menghadapi ancaman keselamatannya,” kata Biden.

“AS jelas bahawa ICC tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara ini,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS.

Kenyataan itu tidak menyebut mengenai waran tangkap ICC yang juga dikeluarkan untuk Mohammed Deif, ketua tentera Hamas.

AS dan Israel bukan ahli ICC dan kedua-duanya menolak bidang kuasa mahkamah berkenaan.

Dalam pada itu, pemimpin dunia berbelah bahagi berhubung isu pengeluaran waran tangkap ICC terhadap Netanyahu, dengan Israel dan sekutunya menolak sama sekali keputusan mahmakah itu.

Presiden Argentina, Javier Milei, menegaskan keengganannya menerima keputusan itu dengan alasan ia ‘mengabaikan hak Israel untuk mempertahankan diri’ daripada serangan kumpulan seperti Hamas dan Hezbollah.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell, menekankan bahawa keputusan itu adalah tindakan mahkamah yang mesti dihormati dan dilaksanakan.

Setiausaha Agung Amnesty International dan Sokongan Global, Agnes Callamard, menyatakan bahawa Netanyahu kini menjadi ‘individu yang dikehendaki’ dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Menteri Kehakiman Turkiye, Yilmaz Tunc, menyambut baik keputusan itu sebagai langkah penting untuk menghentikan pertumpahan darah di Palestin.

Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto, berkata negaranya terikat untuk menangkap Netanyahu sekiranya melawat Itali, walaupun beliau mengkritik keputusan ICC.

Sepanyol menegaskan akan mematuhi keputusan ICC mengikut undang-undang antarabangsa dan Belgium serta Sweden menyatakan sokongan penuh terhadap ICC.

Mereka juga mahu semua pihak bertanggungjawab dari segi undang-undang untuk memastikan pihak terbabit dalam jenayah perang di Israel dan Gaza dihadapkan ke mahkamah.
-AGENSI
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427