Pakej rangsangan, vaksin bantu rakyat keluar daripada krisis COVID-19

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR, 26 Feb — Tidak dapat dinafikan episod getir kesan daripada serangan pandemik COVID-19 sejak Januari tahun lalu memberikan kesan mendalam dan menjejaskan ekonomi dan kehidupan rakyat.

Mengimbas kembali usaha yang dilaksanakan, kerajaan  mengambil langkah segera mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac tahun lalu, demi meminimumkan kesan negatif pandemik kepada negara dan melindungi rakyat.

Begitupun, kerajaan mengambil tindakan cepat dan tangkas untuk mengatasinya dengan memberi kepentingan kepada semua sektor dan segenap pelusuk rakyat tanpa mengira usia dan kedudukan sosial bagi mengatasi masalah ini, yang boleh menjerumuskan negara kepada krisis sekiranya tidak ditangani dengan segera.

Langkah  proaktif yang diambil kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak setahun lalu, jelas menunjukkan komitmen dan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat dan pemain dalam industri ekonomi melalui pakej-pakej rangsangan yang telah dilaksanakan.

Peruntukan besar sebanyak RM320 bilion yang dikeluarkan melalui lima pakej rangsangan menunjukkan kerajaan konsisten mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Kebajikan tetap menjadi keutamaan bagi Muhyiddin, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020, apabila mengumumkan bantuan pertama, Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac 2020 dengan tiga matlamat iaitu melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi.

Ini meliputi pakej PRIHATIN bernilai RM250 bilion, Pakej Prihatin PKS (tambahan) bernilai RM10 bilion, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion, Kita Prihatin sebanyak RM10 bilion dan terbaharu bagi tahun 2021 iaitu Pakej PERMAI bernilai RM15 bilion.

Ramai yang mendapat manfaat termasuk Makcik Kiah, penjual pisang goreng yang dijadikan anologi oleh Muhyiddin ketika membuat pengumuman itu.

Antara yang paling menggembirakan rakyat, Bantuan Prihatin Nasional  (BPN) yang diumumkan melalui pakej PRIHATIN yang diberikan kepada kumpulan sasar meliputi rakyat yang dikategorikan dalam B40, M40 dan bujang.

Jika Bantuan Sara Hidup (BSH)  yang diperkenalkan sebelum ini hanya mencakupi penerima yang berpendapatan isi rumah sehingga RM4,000 sebulan namun BPN telah dipertingkatkan kepada pendapatan isi rumah sehingga RM8,000 sebulan dengan bilangan penerima yang lebih ramai iaitu melebihi 10 juta rakyat Malaysia dengan jumlah peruntukan sebanyak RM11.5 bilion.

Bantuan ini bagi memastikan rakyat sentiasa berterusan mempunyai wang untuk membantu kos sara hidup dan perbelanjaan keperluan seharian bagi meningkatkan aliran tunai dan kuasa beli.

Selain itu, pelbagai inisiatif lain diberikan antaranya moratorium selama enam bulan bagi pembayaran balik pinjaman, subsidi upah bagi memastikan majikan dapat mengekalkan pekerja serta pemberian bantuan tunai secara sekali beri kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), pemandu teksi dan e-Hailing.

Subsidi upah turut diperkenalkan bagi menjamin  kelangsungan pekerjaan hampir 2.4 juta pekerja di seluruh negara.

Pakej bantuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) turut diumumkan selepas itu melalui pakej Prihatin PKS Plus pada 6 April 2020 bagi membantu PKS yang terjejas.

Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA)  pula menyusul pada 5 Jun 2020 untuk memperkasakan rakyat bagi melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi melalui 40 inisiatif.

Seterusnya pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas  (Kita Prihatin)  yang diumumkan pada 23 Sept dengan peruntukan RM10 bilion dalam usaha kerajaan meringankan beban rakyat.

Pakej ini  merangkumi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 (RM2.4 bilion) dan inisiatif Geran Khas PRIHATIN (GKP) sebanyak RM600 juta.

Sementara itu Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan pada 22 Januari lepas dengan 22 inisiatif meneruskan matlamat memerangi pandemik COVID-19 bagi memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Pada masa yang sama kerajaan juga turut komited untuk melindungi kesihatan rakyat dengan berusaha mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 melalui penyertaan dalam program COVID-19 Vaccine Global Access atau COVAX.

Komitmen itu melibatkan peruntukan melebihi RM3 bilion bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia untuk memastikan 80 peratus rakyat  diberikan imunisasi COVID-1 secara percuma dalam tiga fasa mulai 24 Feb 2021 hingga Febuari 2022.

Akhirnya, yang ditunggu pun tiba. Program Imunisasi  COVID-19 Kebangsaan bagi pemberian vaksin yang telah dimulakan Rabu lalu, memberi sinar baharu kepada fasa pemulihan untuk negara keluar daripada krisis yang berlaku dengan dapatan pakar ekonomi yang mengatakan negara akan beransur pulih dengan kehadiran vaksin berkenaan.

Sementara itu, Pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan  secara berterusan  dan bersasar telah berjaya secara beransur-ansur  memberi  impak yang positif  kepada ekonomi negara yang kini dalam fasa pemulihan.

Melihat kepada inisiatif kerajaan melalui lima pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan, ia telah berjaya meringankan beban rakyat terutamanya kepada mereka yang kehilangan pekerjaan atau terjejas pendapatan mereka disebabkan COVID-19.

Kesan positif ini boleh dilihat melalui  nilai jualan  sektor pembuatan Malaysia pada Disember 2020 adalah RM124.6 bilion meningkat kepada 4.5 peratus berbanding tahun 2019.

Eksport Malaysia juga mencatatkan nilai bulanan tertinggi RM95.7 bilion pada Disember 2020, meningkat 10.8 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

“Proses pemulihan ini akan mengambil masa yang panjang berkemungkinan sehingga 2023 dan kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi tambahan bagi membantu rakyat termasuk PKS sebelum pembentangan Belanjawan 2022 terutamanya pada suku tahun kedua dan ketiga nanti,” katanya.

Pakej rangsangan ini jelas menunjukkan kerajaan meletakkan keutamaan  dalam mengekang penularan wabak, memelihara kesejahteraan rakyat dan memastikan kelangsungan perniagaan serta ekonomi negara terus berkembang.

— BERNAMA

 

 

 

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427