Pakej PERMAI bawa kesan besar, kata pakar ekonomi

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Pakej bantuan PERMAI baru bernilai RM15 bilion yang diumumkan semalam akan meningkatkan hutang negara dengan masalah yang diwariskan kepada generasi akan datang, kata pakar ekonomi.

CEO Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito berkata, pakej bantuan itu perlu untuk menangani perintah kawalan pergerakan (PKP), yang diharapkan kerajaan untuk mengekang Covid-19.

“Namun, langkah itu akan merosakkan ekonomi. Sekarang, kerajaan berpendapat untuk mengawal ekonomi, ia perlu memberikan pakej bantuan.”

Beliau berkata, data penyelidikan yang disiarkan dalam European Journal of Clinical Investigation pada 5 Jan lalu menunjukkan tiada manfaat jelas daripada sekatan pergerakan untuk mengawal jangkitan.

Carmelo Ferlito.

“Tiada bukti ia dapat membendung virus itu”, katanya yang mendakwa sekatan pergerakan membawa lebih banyak kerosakan kepada ekonomi.

Mengenai pakej bantuan itu, beliau berkata, ia bersifat sementara dan tidak akan membantu ekonomi Malaysia ke arah pemulihan, “Ia hanya akan menampal lubang sementara dan ia adalah kerosakan yang boleh kita elakkan”.

Generasi masa depan perlu menanggung kesannya untuk pakej bantuan itu melalui cukai dan hutang lebih tinggi serta inflasi.

Pengumuman semalam mengenai pakej rangsangan bernilai RM15 bilion itu menyusul sembilan bulan selepas pakej rangsangan berjumlah RM300 bilion yang diumumkan selepas pusingan pertama sekatan pergerakan.

Ferlito berkata, negara memerlukan komunikasi dan analisis data yang cekap.

Beliau berkata, perlu ada data mengenai kumpulan umur berbeza yang dijangkiti virus itu.

Di Itali, katanya, 80% daripada mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 melebihi 70 tahun, sementara 67% kematian di Itali disebabkan penyakit lain.

Daripada maklumat ini, beliau berkata, rakyat boleh memutuskan untuk keluar atau duduk di rumah dan ini membantu Kementerian Kesihatan menilai risikonya.

“Langkah generalisasi berbahaya untuk semua orang kerana ia tidak ditentukan data,” katanya sambil menambah dengan data lebih baik, kerajaan tidak perlu melaksanakan sekatan pergerakan di negeri-negeri.

Beliau berkata, statistik KKM menunjukkan kadar survival 99.6% di Malaysia.

KKM sepatutnya mengeluarkan data terperinci mengenai siapa yang berisiko dan memberi kesedaran yang betul.

Ferlito berkata, satu lagi pusingan PKP mungkin menyebabkan perniagaan kecil-kecilan gulung tikar dan lebih ramai yang sukar mencari rezeki sekarang.

Yeah Kim Leng.

Seorang lagi pakar ekonomi, Yeah Kim Leng berkata, hutang kerajaan cenderung untuk terus meningkat, walaupun sumber pinjaman sebahagiannya boleh diimbangi harga komoditi lebih tinggi seperti minyak.

Katanya, PKP pusingan kedua juga boleh menyebabkan ekonomi kekal lemah berikutan perbelanjaan pengguna merosot.

Yeah berkata, kadar jangkitan mungkin tidak turun segera dan kerajaan mungkin memerlukan masa lebih lama untuk mengawal penyebarannya.

-FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427