Pakar terkenal barisi Persidangan Peralihan Tenaga

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Persidangan Peralihan Tenaga (ET) yang akan diadakan bulan depan bakal dibarisi pakar-pakar terkenal dalam pelbagai bidang berhubung dengan industri tenaga dan kelestarian untuk berkongsi idea dan pandangan, ramalan dan perspektif.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Ir Baharin Din, berkata persidangan itu bakal menjadi wadah yang merangsang fikiran dalam kalangan peserta kerana pihaknya membariskan penceramah ternama yang akan bercakap mengenai topik-topik penting dalam peralihan tenaga, dan berkongsi pandangan-pandangan berharga dalam mengharungi landskap industri tenaga yang sentiasa berubah.

“Penceramah berkenaan termasuk Ketua Pegawai Ekonomi dan Pengarah Urusan Kanan, Institut Ekonomi Tenaga Jepun (IEEJ), Dr Ken Koyama; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Datuk Abdul Razib Dawood; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Octopus Energy Group, Greg Jackson; dan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), Francesco La Camera.

“Bersama-sama dengan kehadiran penceramah lain seperti Naib Presiden Bank Pembangunan Asia, Ashok Lavasa; Naib Presiden Kanan Lux Research, Dr Arij van Berkel; Pengarah Prinsipal Hijjas Kasturi Associates Sdn Bhd, Serina Hijjas; dan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah AO, peserta bakal mendapat manfaat besar daripada perkongsian ilmu dan kerancakan perbincangan pada persidangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Persidangan yang akan diadakan selama dua hari bermula 28 Ogos ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan menghimpunkan pemimpin, pakar, pemainindustri, penggubal dasar dan pemimpin komuniti untuk penghuraian mengenai cabaran dalam Peralihan Tenaga.

Persidangan itu adalah platform perdana Malaysia dalam menghasilkan ilham-ilham penyelesaian dan menggalakkan kerjasama merentas sektor-sektor ekonomi dalam menangani peralihan tenaga.

Ia akan juga memaparkan penyelesaian lestari teknologi melalui satu pameran dan sesi menyediakan peluang-peluang padanan perniagaan.

Baharin berkata,Dr Koyama dan Ashok akan menyertai panel pemimpin industri termasuk Ketua Pegawai Tenaga Baharu TNB, Zarihi Hashim, dan Ketua Kelestarian Maybank, Shahril Azuar Jimin bagi membincangkan ‘The Price of Going Green’, iaitu bagaimana peralihan tenaga dapat dibiayai dengan cara bertanggungjawab dan lestari.

“Begitu juga, Abdul Razib akan menyertai dialog bertemakan ‘Forward-thinking Policies & Regulations that Shape the Energy Transition’ yang mana beliau akan memaparkan kepentingan dasar dan peraturan dalam memacu pembangunan tenaga lestari.

“La Camera pula akan bercakap mengenai ‘Closing the RE Loop: Bridging the Net Zero Transition through Circular Economy Strategies’, dengan berkongsi pandangan bagaimana misi Peralihan Tenaga boleh dicapai dengan cekap dan lestari.

“Peserta juga boleh memanfaatkan pengalaman Greg dalam menerajui satu daripada penyedia bekalan elektrik di Britain dan pemikirannya bagaimana teknologi dan data boleh digunakan secara inovatif untuk industri dan para pelanggan, dalam memperkasakan agenda peralihan tenaga,” katanya.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427