RANTAU PANJANG: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas pelbagai jenis pakaian dan kosmetik bernilai hampir RM90,000 di pangkalan haram Abang Yie, di sini, malam tadi.
Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata kira-kira jam 12.30 malam anggota membuat rondaan sebelum ternampak sekumpulan lelaki memunggah guni putih ke dalam perahu ke tebing sungai.
Katanya, anggota kemudian menghampiri kumpulan lelaki berkenaan, namun mereka melarikan diri ke seberang Thailand menggunakan perahu sebaik menyedari kehadiran pegawai dan anggota bertugas.
“Hasil pemeriksaan lanjut, guni putih yang dipunggah ini mengandungi sejumlah 1,438 helai pakaian bernilai RM84,585 selain barangan kosmetik berjumlah RM2,105 dipercayai dibawa seludup dari Thailand untuk pasaran tempatan.
“Kesemua barangan dirampas dan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan serta siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967.
“Selain itu, hasil risikan yang diperolehi mendapati barangan ini diseludup menggunakan jalan sungai melalui pangkalan haram bagi mengelak cukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Azhari berkata pihaknya turut merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM3,175 di Kampung Kubang Kuau, di sini, jam 3 petang semalam.
Menurutnya, ketika anggota sedang membuat rondaan pihaknya terserempak sebuah Proton Wira dalam keadaan mencurigakan dan bertindak menahan kenderaan terbabit sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
“Pemandu berusia 26 tahun memberi kerjasama baik dan hasil pemeriksaan di dalam kereta menemui kesemua mercun terbabit dipercayai untuk dijual sempena Aidilfitri.
“Hasil siasatan, suspek mengakui kesemua mercun diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pasaran tempatan.
“Suspek ditahan dan kesemua mercun terbabit dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.-BH