Orang ramai mula nikmati kelonggaran PPN

Estimate Reading Time: 3 minutes

RAWANG: Orang ramai yang lengkap divaksin terutama di negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) mula memanfaatkan kelonggaran diumumkan kerajaan terutama yang berkaitan dengan aktiviti sosial seperti makan di restoran dan riadah yang berkuat kuasa hari ini.

Selain dine-in, orang ramai kini juga dibenar melakukan aktiviti sukan dan riadah luar tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta berkunjung ke pasar malam dan minggu.

Tinjauan BH mendapati, orang ramai mula keluar melakukan aktiviti riadah seperti berbasikal dan joging, sama ada mengelilingi taman perumahan masing-masing atau di taman rekreasi berhampiran.

Tidak kurang juga ada segelintir yang mula mengunjungi kedai makan dan restoran bagi menikmati juadah selepas sekian lama tidak dibenarkan berbuat demikian ekoran pandemik COVID-19.

Pekerja swasta, Roslin Ahmad, 53, mengakui teruja apabila berpeluang menikmati kuetiau goreng dan nescafe tarik sebagai juadah sarapan di gerai makan, selain meluangkan masa bersama rakan yang turut berkunjung ke premis sama.

“Saya tak berjanji dengan sesiapa pun tetapi kebetulan ada rakan dari kawasan perumahan datang makan di kedai sama. Kami sempat bersembang dan bertanya khabar. Setakat ini kedai makan masih lengang dan masing-masing mengamalkan SOP ditetapkan.

“Peringkat awal ini saya berjaga-jaga dan tak berani bawa ahli keluarga lain untuk makan di gerai kerana takut dijangkiti. Kita tak tahu virus ini ada di mana tambahan pula penularannya melalui udara,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, BH melaporkan, kerajaan membenarkan aktiviti makan di restoran, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi Pasar Malam dan Pasar Minggu dibenarkan kepada individu lengkap divaksini di negeri Fasa Satu PPN.

Sementara itu, pengusaha kedai makan, Saiful Asri Yusof, 39, mengakui sambutan orang ramai bagi aktiviti makan di restoran masih perlahan, dipercayai didorong rasa takut dijangkiti COVID-19.

“Masih ramai pelanggan memilih untuk membungkus makanan mereka, berbanding makan di kedai walaupun aktiviti ini sudah dibenarkan kerajaan. Kita pun tak buka banyak meja kerana beranggapan masih ramai belum berani untuk makan di kedai. Selepas ini mungkin akan mempertimbang untuk sediakan lebih banyak meja apabila penerimaan masyarakat mula rancak,” katanya.

Pemangku Yang Dipertua Pasar Malam Taman Melati, Atan Mahat, pula memaklumkan operasi pasar malam di kawasan berkenaan belum mula beroperasi, selain perbincangan bersama peniaga akan dibuat dalam masa terdekat.

“Kebenaran pengoperasian semula pun baru diberikan semalam dan kita belum sempat membuat persiapan menyeluruh bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP ketika berkunjung ke pasar malam.

“Kita kalau boleh mahu segera membuka semula pasar malam di kawasan ini, tetapi terikat dengan SOP ditetapkan dan tidak mahu lokaliti ini menjadi kawasan penularan COVID-19,” katanya.

Bagi suri rumah, Rozidah Ibos, 52, dan peniaga, Mohd Hasbullah Basir, 37, mengakui teruja dapat apabila mereka berpeluang melakukan aktiviti riadah masing-masing joging serta berbasikal.

Biarpun bimbang dengan penularan COVID-19, mereka memberanikan diri keluar tetapi dengan mengamalkan SOP selain mengelak daripada bercakap atau bersentuhan dengan individu tidak dikenali bagi mengurangkan risiko jangkitan virus itu ketika beriadah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Mat Saad ketika memperincikan kelonggaran itu, berkata ia hanya boleh dinikmati individu sudah melepasi tempoh 14 hari selepas menerima dos kedua vaksin COVID-19.

Kelonggaran itu juga boleh dinikmati golongan berusia 17 tahun ke bawah dan belum menerima suntikan pelalian dengan syarat mereka ditemani ahli keluarga dari rumah sama yang sudah lengkap vaksinasi.

Selain itu, katanya, kelonggaran turut diberikan kepada individu dikenal pasti tidak boleh menerima vaksinasi kerana faktor kesihatan dengan syarat perlu mengemukakan dokumen pengesahan bertulis daripada doktor atau pengamal perubatan berdaftar.

“Golongan berusia 17 tahun ke bawah tidak layak menikmati kelonggaran dinyatakan jika mereka pergi secara sendirian, kumpulan rakan sebaya atau ditemani guru mahupun individu selain ahli keluarga serumah yang sudah lengkap divaksinasi.

“Pasangan suami isteri atau ahli keluarga boleh membawa anak berusia 17 tahun ke bawah untuk menikmati kemudahan dengan syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP), walaupun ia tidak digalakkan.

“Ini kerana, mereka banyak menghabiskan masa bersama keluarga, selain yakin golongan 17 tahun ke bawah tidak kemana-mana tanpa ibu bapa dan penjaga mereka. Usaha memberi vaksin kepada mereka sedang dipercepatkan,” katanya.

Rodzi berkata, SOP pengoperasian semula kedai makan dibenarkan jika pekerja premis berkenaan belum melengkapkan vaksinasi, selain peraturan itu hanya terpakai ke atas pengunjung sahaja.

“Pengusaha kedai makan tidak disyaratkan perlu melengkapkan vaksinasi sebelum beroperasi, sebaliknya digalakkan untuk memastikan semua kakitangan terima dua dos vaksin.

“Kita juga dapati ramai pengusaha tak mahu ambil risiko untuk kembali beroperasi jika pekerja mereka tidak lengkap divaksinasi, sekali gus menunjukkan ada kesedaran dalam kalangan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai kelonggaran rentas negeri, beliau berkata, perkara itu masih diteliti dan ia bergantung kepada penilaian risiko, trend kemajuan dan kesan signifikan vaksinasi serta pandangan daripada Kementerian Kesihatan.

“Kalau kita yakin vaksin telah memberi impak meyakinkan, insya-Allah kelonggaran rentas negeri akan kita pertimbangkan supaya ia disegerakan. Kita sedang meneliti perkara ini.

“Kadar vaksinasi antara negeri juga berbeza dan agak membimbangkan jika mahu buat keseragaman rentas negeri. Kita akan lebih yakin jika kadar vaksinasi di semua negeri mencecah 40 peratus, walaupun tahap di peringkat kebangsaan melebihi 50 peratus.

“Kemudahan rentas daerah di negeri Fasa Satu PPN belum boleh dibuat, selain sedang meneliti perkara ini kerana keputusan mengenainya dibuat secara bersama dengan semua agensi selepas mempertimbangkan banyak faktor berkaitan,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427