Orang ramai mahu akses, tahu apa ‘pengakhiran’ siasatan SPRM

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu diberi akses terhadap mana-mana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan aspek ketelusan sekali gus mengelakkan agensi itu dituduh tidak bebas dan membuat siasatan terpilih.

Menegaskan SPRM tidak perlu diletak di bawah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berpandangan masyarakat hari ini mahu tahu apa yang berlaku dalam siasatan kes rasuah.

Ini katanya, berpunca daripada tindakan SPRM sendiri yang mengeluarkan kenyataan tegas mahu memulakan siasatan sesuatu kes tetapi ‘pengakhiran siasatan’ itu tidak diketahui orang awam.

“Jadi orang ramai tertanya-tanya dan mahu tahu apa yang akan berlaku… akhirnya siasatan itu sudah di mana. Oleh itu, cadangan supaya SPRM laksana siasatan terbuka adalah wajar kerana mampu membendung persepsi dan tuduhan liar yang dilemparkan masyarakat ketika ini.

“Kerajaan boleh melihat cadangan ini, dengan memastikan masyarakat diberi akses terhadap satu-satu siasatan yang dijalankan SPRM,” katanya kepada BH.

Shamshun Baharin berkata, SPRM sejak sekian lama sentiasa disalah anggap oleh masyarakat sehingga ada yang menuduh agensi itu tidak bebas malah hanya menjalankan siasatan terpilih.

Oleh demikian, beliau berpandangan, sekiranya siasatan terbuka dibolehkan, dengan setiap tindakan boleh diakses oleh orang awam, maka tidak lagi timbul kenyataan-kenyataan yang menuduh SPRM tidak melakukan tanggungjawab seperti yang diamanahkan.

“Saya berpandangan, cadangan itu boleh diterima namun sekiranya kita mahu telus pastikan ketelusan itu berlaku secara keseluruhan iaitu apabila siasatan bermula sehinggalah akhir siasatan.

“Dengan ini, SPRM boleh menolak dakwaan mereka melakukan siasatan terpilih dan sekiranya keputusan pendakwaan tidak memihak kepada kehendak orang ramai, mereka sudah pun tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Semalam, Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham, mencadangkan agar SPRM dibenar melaksanakan siasatan terbuka bagi menangani isu persepsi dan ketidakpercayaan masyarakat terhadap agensi itu.

Cadangan itu katanya, dilihat lebih berkesan berbanding meletakkan SPRM di bawah EAIC.

Katanya, antara tindakan diambil negara maju seperti Australia dan Kanada dalam menyuraikan isu persepsi terhadap badan antirasuah dan penguatkuasan mereka, adalah dengan membahagikan dua cara siasatan iaitu secara tertutup dan terbuka (public inquiry).

Sehubungan itu, Shamshun Baharin berkata, SPRM tidak perlu diletakkan di bawah EAIC kerana dalam klausa Akta SPRM 2009 sudah menyatakan kewujudan Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM yang akan melaksanakan pemantauan dan aduan sekiranya berlaku salah laku dalam kalangan pegawai mereka.

Malah, sekiranya kesalahan itu dilakukan mengikut Kanun Acara Jenayah, pihak Polis Diraja Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan.

“Dalam 21 agensi penguatkuasaan, hanya SPRM sahaja tidak berada di bawah EAIC kerana kita sudah mempunyai mekanisme berkenaan. Sekiranya cadangan (letak bawah EAIC) itu dilaksanakan pastinya akan berlaku pertindihan kuasa.

“Malah saya berpandangan EAIC sendiri juga tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi ketika ini, disebabkan itu mereka terpaksa meminjam dari agensi-agensi lain. Begitu juga SPRM, yang tidak mempunyai kakitangan yang besar, hanya sekitar 1,900 pegawai sahaja,” katanya.

Siasatan terbuka SPRM buka ruang tohmahan kepada yang disiasat

Sementara itu penganalisis rasuah yang juga bekas pegawai kanan SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob pula memberi pandangan berbeza dengan alasan, siasatan terbuka akan membuka lebih banyak tohmahan kepada mereka yang sedang disiasat.

Katanya, tugas SPRM adalah menyiasat dakwaan dan tidak menjatuhkan hukuman, justeru apabila siasatan terbuka dilakukan, ia akan menyebabkan mereka yang tertuduh diadili dengan pelbagai persepsi yang negatif.

“Apabila siasatan dilakukan kepada individu, masyarakat yang mengetahui sudah menghukum suspek itu bersalah dan sekiranya siasatan terbuka dijalankan, pastinya macam-macam tuduhan akan dilemparkan kepada mereka.

“Sebagai contoh kes 1MDB. Kita melakukan siasatan terperinci secara diam dan tanpa gangguan, tetapi disebabkan ramai yang memaksa, kenyataan perlu dibuat. Bagi kes sensitif sebegini, sepatutnya ia dilakukan tanpa gangguan dan tidak dipersoalkan kerana akhirnya SPRM hanya menyiasat, bukannya menjalankan pendakwaan,” katanya.

Rohaizad berkata, siasatan terbuka juga boleh menimbulkan ketidakadilan kepada suspek yang sedang disiasat, meskipun sudah ada bukti jenayah itu dilakukan.

Mengulas mengenai tindakan meletakkan SPRM bawah EAIC, beliau berkata, cadangan itu tidak selari dengan situasi yang dihadapi SPRM kerana kebanyakan kes membabitkan pegawai adalah berkaitan tohmahan berhubung kes yang dibuka SPRM.

Katanya, kacau-ganggu dalam siasatan SPRM banyak terjadi sehingga ada yang berpandangan pegawai SPRM membuat siasatan terpilih dan tidak bebas.

“Sekiranya ada kes berkaitan jenayah atau salah laku sememangnya ia boleh disiasat tetapi kebanyakan tuduhan yang dilemparkan kepada pegawai SPRM adalah berkaitan tohmahan-tohmahan kes yang sedang disiasat,” katanya.

Beliau menjelaskan, SPRM sendiri mempunyai cawangan profesional dan kecemerlangan yang bertanggungjawab menyiasat pegawainya, malah JKA juga ditubuhkan untuk memantau tindak-tanduk pegawai agensi. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427