Orang Cina di Kelantan harap calon mampu bangunkan negeri

Estimate Reading Time: 1 minute

KOTA BHARU: Masyarakat Cina Kelantan berharap calon yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini dapat membangunkan ekonomi negeri, sekali gus membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada penduduk.

Peniaga, Kevin Yew Kian Wei, 34, berkata disebabkan peluang pekerjaan kurang, ramai golongan muda berhijrah ke negeri lain termasuk Lembah Klang, Pulau Pinang dan ada juga ke Singapura.

Bapa kepada dua anak itu, berkata ramai rakannya berpindah ke luar negeri berikutan tidak mempunyai pekerjaan di negeri sendiri.

“Saya bernasib baik kerana mempunyai perniagaan sendiri, namun ramai rakan saya berhijrah ke luar untuk mencari peluang kerja yang lebih baik untuk menyara keluarga.

“Justeru, saya harap pemimpin yang dipilih dan menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 12 Ogos ini supaya memajukan ekonomi Kelantan,” katanya ketika ditemui di Jalan Che Su, di sini.

Penduduk Wakaf Bharu, Tumpat, Yap Yunn Chien, 34, berkata keadaan ekonomi yang kurang baik membuatkan perniagaannya jatuh berbanding sebelum ini.

“Saya harap kerajaan dapat memulihkan kembali ekonomi demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat. Selain itu, ia juga dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan jika ekonomi kita baik.

“Pada masa yang sama, saya harap pemimpin yang terpilih sentiasa mengambil berat mengenai masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya.

Peniaga, Yeat Kai Foon, 50, berharap pemimpin yang dipilih lebih prihatin dengan rakyat termasuk kaum Cina.

Katanya, walaupun pada masa ini tidak ada isu, sebagai kaum minoriti dia mahu pemimpin mengambil cakna masalah dihadapi penduduk terutama mereka yang tinggal di kampung berikutan kurang kemudahan asas berbanding di bandar.

“Pemimpin negeri yang dipilih perlu memainkan peranan apabila mengusulkan projek yang memberi manfaat kepada rakyat, misalnya membesarkan jalan bagi mengelakkan kesesakan.

“Selain harapan kepada pimpinan negeri, kita juga berharap kerajaan Pusat tidak meminggirkan negeri ini kerana kaum Cina di Kelantan ini juga ada yang menyokong Kerajaan Perpaduan, selain mengundi PAS,” katanya.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427