Orang Asli puji program miliki dokumen pengenalan di kampung mereka

Estimate Reading Time: 2 minutes

JERANTUT: Sebanyak 208 permohonan sijil kelahiran dan kad pengenalan Orang Asli diproses Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang yang membuka kaunter untuk menerima gantian kad pengenalan, pendaftaran lewat kelahiran, sijil kelahiran dan MyKad baharu pada 6 dan 7 Ogos lalu.

Program itu anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di SK Merting mendapat sokongan daripada pelbagai agensi antaranya JPN Pahang dan JPN Jerantut; Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Daerah Jerantut, Pejabat Perpaduan, SK Merting serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) Yayasan RYTHM.

Timbalan Pengarah JAKOA Pahang, Ahmad Marzuki Salleh, berkata program itu bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti Orang Asli di daerah itu, kepentingan memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan untuk melayakkan mereka menerima pelbagai bantuan kerajaan.

“Program dua hari ini mendapat sambutan menggalakkan masyarakat Orang Asli kerana JPN menerima sebanyak 208 permohonan, melepasi sasaran kami 80 permohonan.

“Kesanggupan mereka hadir membuktikan kesedaran memiliki dokumen pengenalan diri telah meningkat dan mengakui kepentingan memiliki dokumen berkaitan membantu proses menyalurkan bantuan, memohon lesen motosikal dan keluar bekerja,” katanya.

Ahmad Marzuki berkata, berdasarkan sambutan diterima, pihaknya bercadang meneruskan program seumpamanya pada masa masa depan dengan menyasarkan kelompok lebih kecil di lokasi yang lebih mudah diakses komuniti berkenaan.

Timbalan Pengarah JAKOA Pahang, Ahmad Marzuki Salleh (duduk tiga Dari kanan) bersama wakil agensi kerajaan, wakil NGO dan masyarakat Orang Asli dalam program Transformasi Minda Insan Sub Aktiviti Program Kecemerlangan Akademik Dan Sahsiah Diri Daerah Jerantut di SK Merting baru baru ini.

Sementara itu Ketua Yayasan RHYTHM, Santhi Periasamy, selain dokumen pengenalan diri, pihaknya turut membantu komuniti itu menerusi pembukaan ‘Sekulah Bateq’ di Kampung Kuala Atok sejak tahun lalu yang memberi pendidikan asas kepada lebih 40 kanak-kanak etnik Bateq dengan bantuan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Merting.

“Saya percaya pendidikan mampu mengubah landskap pembangunan ekonomi dan pendidikan Orang Asli dan menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding sekarang. Justeru kami berganding bahu dengan pihak JAKOA, PPD, pihak sekolah dan agensi berkaitan dengan mewujudkan kelas khas di sini yang menempatkan lebih 50 pelajar,” katanya.

Tambahnya, sebagai lanjutan memberi peluang pendidikan, pihaknya bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan masyarakat setempat sebagai langkah menggalakkan Orang Asli memperoleh dokumen diri terutama dalam kalangan generasi muda.

“Jika mereka mempunyai dokumen pengenalan diri, masalah keciciran pendidikan, bantuan dapat diatasi malah keyakinan juga meningkat dan faham hak mereka. Pihak sekolah telah membuka jalan kepada anak-anak bersekolah dalam kelas khas dan langkah seterusnya dengan mendapatkan sijil kelahiran dan kad pengenalan,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Kuala Atok, Hussin Dayak memberitahu pihaknya gembira kerana mendapat bantuan daripada agensi kerajaan, sekolah dan NGO memperoleh dokumen pengenalan diri untuk Orang Asli sekali gus memudahkan mereka menerima bantuan kerajaan.

“Sebagai Tok Batin saya selalu mengingatkan anak buah mendaftar anak-anak yang baru lahir di JPN, bila cukup 12 tahun buat MyKad dan warga yang lebih tua ganti kad pengenalan baharu tetapi bukan mudah memujuk mereka.

“Alasan utama mereka sukar keluar ke bandar Jerantut kerana kampung dihubungkan hanya melalui sungai dengan menaiki bot dan kurang kesedaran tentang kepentingan memilikinya,” katanya.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427