Operasi perniagaan di Sabah tamat jam 9 malam

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU: Sabah turut mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan sejak akhir bulan lalu dengan memendekkan operasi semua jenis perniagaan sehingga jam 9 malam, bermula esok.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, bagaimanapun berkata operasi restoran, termasuk restoran dalam hotel dibenarkan bermula pada jam 6 pagi sehingga jam 10 malam.

Katanya, antara premis yang ditetapkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 9 malam ialah kedai dan gerai makan, pusat membeli-belah, pasar raya besar, kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai dobi layan diri.

Turut disenaraikan ialah kedai gunting rambut, salun, kedai kecantikan, perkhidmatan spa, refleksologi, urut dan ‘wellness’ serta pusat cuci kenderaan dengan memastikan pematuhan SOP sedia ada.

“Bagi bilangan pengunjung dalam pusat membeli-belah, pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan sebagainya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dikehendaki untuk menetapkan bilangan maksimum pengunjung.

“Ketetapan yang dibuat kerajaan ialah 50 peratus kapasiti ruang dengan mengambil kira 200 kaki persegi bagi setiap pelanggan, selain tidak lebih sejam berada dalam premis,” katanya dalam kenyataan media, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, operasi perniagaan di Sabah dibenarkan bermula pada jam 6 pagi sehingga jam 12 tengah malam dengan mengekalkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan pada bulan lalu.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata perubahan SOP itu diumum lebih awal sebagai peringatan kepada peniaga untuk mematuhi sepenuhnya ketetapan baharu itu.

Perubahan waktu operasi perniagaan di seluruh Sabah itu selaras dengan langkah kerajaan Pusat mengetatkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, termasuk mengehadkan operasi perniagaan sehingga jam 8 malam, bermula esok.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah semalam mencatat 136 kes baharu positif COVID-19, dengan dua kematian, masing- masing satu di Lahad Datu dan Putatan, manakala satu kluster baharu direkodkan di Kota Kinabalu.

Katanya, Kluster Jalan Mangga itu tercetus melalui majlis hari jadi di Restoran Little Nanyang Bakuteh Kolombong, Jalan Mangga, di sini, pada 13 Mei lalu.

“Kes indeks adalah seorang lelaki berumur 69 tahun dari Kionsom, Inanam. Dia mengalami gejala demam sebelum disahkan positif RTK Antigen di klinik swasta.

“Hasil siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis hari jadi di Restoran Little Nanyang Bakuteh Kolombong, Jalan Mangga pada 13 Mei.

“Susulan kes itu, saringan kontak mendapati 13 lagi kes positif membabitkan ahli keluarga dan generasi kedua, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 14 kes. Pasukan kawalan masih giat menjalankan aktiviti pengesanan,” katanya.

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427