SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) menyifatkan undian bagi peringkat 16 pasukan Piala Malaysia bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC sebagai cabaran getir mengambil kira kedudukan pasukan lawan itu dalam saingan Liga Super ketika ini.
Penolong ketua jurulatih NSFC, Effendi Abdul Malek, bagaimanapun yakin skuad Hobin Jang Hobin mampu memberikan cabaran dan berupaya mencatat keputusan yang positif walaupun mereka masih bergelut mencari kemenangan kedua dalam Liga Super.
“Saya optimist kita (NSFC) boleh memberikan cabaran terhadap PDRM FC dan berupaya melepasi halangan pertama peringkat 16 pasukan itu nanti walaupun prestasi pasukan dalam Liga Super setakat ini kurang memberangsangkan.
“Kita sedang bekerja keras meningkatkan prestasi pasukan dengan berusaha mengatasi setiap kelemahan yang ada yang dikesan dalam persembahan pasukan sebelum ini.
“Daripada penilaian kita sepanjang latihan, terdapat banyak kemajuan dipamerkan pemain dan jika prestasi terbaik dapat diperagakan pada pertembungan dengan PDRM FC itu nanti, saya yakin Negeri Sembilan boleh mendapatkan keputusan baik,” katanya.
Semalam, pengendali Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengadakan undian perlawanan peringkat 16 pasukan Piala Malaysia dengan perancangan awal perlawanan pertama dijangka bermula pada 20 November ini.
-BeritaHarian