PUTRAJAYA, — Kira-kira 10 peratus daripada 80 individu dan entiti yang dipercayai menerima dana daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menyatakan persetujuan untuk membayar kompaun selepas menerima notis pada 7 Okt lepas.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata mereka yang bersetuju itu sedia untuk membayar secara ansuran dan “ia akan dibincangkan kemudian”.
Beliau berkata 40 peratus daripada individu dan entiti terlibat mahu mengambil tindakan mahkamah manakala 45 peratus lagi menghantar surat untuk membuat rayuan.
“Tiga individu tidak mahu terima notis kompaun,” katanya pada sidang media di sini hari ini. Turut menyertai sidang media berkaitan pembolosan sempadan negara akibat daripada aktiviti rasuah itu ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya.
Azam berkata jumlah kutipan daripada 80 individu dan entiti itu akan diumumkan kemudian.
Ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan antara yang tersenarai dalam notis kompaun 1MDB itu, yang mempertikaikan cara pengiraan, Azam berkata SPRM mengikut undang-undang di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
“Kalau ada pihak yang mempertikaikan tentang cara pengiraan, itu terpulang. SPRM hanya mengikut undang-undang dan tidak ada silap pengiraan di sini,” katanya.
Mengenai proses tuntutan wang daripada 1MDB, Azam berkata satu pasukan telah ditubuhkan beberapa tahun lepas bagi mengesan aset 1MDB di seluruh dunia.
“Pasukan ini sedang cuba mengesan di mana aset-aset itu berada dan pihak mana yang boleh bekerjasama kerana ia banyak melibatkan bidang kuasa termasuk negara Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland. Setiap pihak ini ada bidang kuasa tersendiri,” katanya.
Azam berkata pasukan itu akan menghubungi pihak penyiasat di negara tersebut untuk berbincang dan mendapat maklumat lanjut bagi mengesan aset 1MDB yang diselewengkan ke negara berkenaan.
Mengenai penahanan dua pegawai Felda di Pahang berhubung siasatan membabitkan pembelian Stadium Jengka, Azam mengesahkan penahanan tersebut dan kedua-dua individu itu direman lima hari.
Beliau berkata kes adalah berkaitan salahguna kuasa dan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.– BERNAMA