Nilai eksport berkembang 5.0 peratus pada Julai

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Nilai eksport Malaysia meneruskan momentum positif pada Julai apabila berkembang lima peratus kepada RM97.32 bilion, peningkatan tahun ke tahun yang ke-11 bulan berturut-turut sejak September 2020.

Ia lebih perlahan berbanding nilai eksport negara pada Jun yang mana mencatatkan pertumbuhan kukuh 27.2 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), berkata pertumbuhan eksport pada bulan dikaji disokong oleh kenaikan eksport bagi keluaran petroleum, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta kimia dan bahan kimia yang dipacu oleh permintaan luar yang kukuh.

“Eksport ke pasaran utama iaitu ASEAN, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan positif,” katanya.

Bagi tempoh tujuh bulan 2021, eksport berkembang 25.9 peratus kepada RM682.9 bilion.

Menurut kenyataan MITI, kesemua sektor merekodkan pertumbuhan eksport pada Julai 2021 dengan eksport barangan perkilangan yang mewakili 85.1 peratus daripada jumlah eksport, naik 2.3 peratus tahun ke tahun kepada RM82.85 bilion.

“Eksport keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit telah mencatatkan kenaikan melebihi RM1 bilion.

“Eksport keluaran pertanian merekodkan pertumbuhan dua angka 29.2 peratus kepada RM8.47 bilion berbanding Julai 2020 disokong terutamanya oleh peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

“Eksport hasil galian naik 18.3 peratus tahun ke tahun kepada RM5.65 bilion, peningkatan dua angka yang keempat bulan berturut-turut direkodkan. Pertumbuhan ini telah disokong oleh kenaikan eksport gas asli cecair (LNG),” katanya.

Malaysia mencatat prestasi perdagangan Malaysia yang kekal positif pada Julai apabila mencatatkan pertumbuhan 13 peratus kepada RM180.96 bilion berbanding Julai 2020.

Ia adalah pertumbuhan dua angka yang keenam bulan berturut-turut sejak Februari 2021.

Bagi tempoh bulan dikaji, import turut meningkat 24 peratus kepada RM83.64 bilion manakala lebihan dagangan menguncup 45.8 peratus kepada RM13.68 bilion.

“Perdagangan, eksport dan import adalah nilai bulanan tertinggi direkodkan bagi bulan Julai,” jelas MITI.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, import meningkat 0.5 peratus manakala perdagangan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing berkurang sebanyak 4.1 peratus, 7.7 peratus dan 38.5 peratus.

Bagi tujuh bulan pertama tahun 2021, perdagangan meningkat 23.9 peratus kepada RM1.237 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Eksport berkembang kepada RM682.9 bilion dan import naik 21.6 peratus kepada RM554.17 bilion. Lebihan dagangan melonjak sebanyak 48.8 peratus kepada RM128.74 bilion.

Pada Julai 2021, perdagangan dengan ASEAN berkembang 10.5 peratus tahun ke tahun kepada RM45.3 bilion, China pula dengan pertumbuhan dua angka 15 peratus tahun ke tahun kepada RM33.89 bilion.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) pada bulan dikaji turut meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun kepada RM17.79 bilion, manakala EU pula melonjak 19.7 peratus tahun ke tahun kepada RM14.94 bilion.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427