Nik Abduh, Mohd Amar perlu bergabung atasi krisis Pengkalan Chepa

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA BHARU: Keluarga Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan kekuatan PAS Pengkalan Chepa adalah kerana terdapat dua tokoh hebat iaitu Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Allahyarham Nik Abdullah Arshad yang juga bapa kepada Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar.

Sepupunya, Muhammad Fadzilul Hakimi Abdul Rahman, berkata kedua-dia tokoh berkenaan berganding bahu membina PAS Pengkalan Chepa sejak berzaman.

Bagaimanapun katanya, selepas kedua-dua tokoh berkenaan meninggal dunia, masing-masing meninggalkan legasi anak sebagai pemimpin yang menyambung legasi perjuangan bapa mereka.

“Allahyarham Abdullah Arshad atau dikenali sebagai Pak Nik Lah meninggalkan legasi Mohd Amar dan Allahyarham Nik Abdul Aziz meninggalkan legasi Nik Mohamad Abduh. Kedua-duanya dikenali dan berjasa kepada PAS.

“Untuk meneruskan pembinaan PAS Pengkalan Chepa, perlu kedua-dua legasi tokoh ini bergabung sebagaimana tokoh pertama dulu Pak Nik Lah dan Tok Guru Nik Abdul Aziz boleh bergabung.

“Ini kerana sejarah PAS Pengkalan Chepa kekuatan tercetus dari gabungan dua tokoh ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Bagaimanapun katanya, jika mana-mana legasi tokoh ini membuang legasi tokoh yang kedua, PAS Pengkalan Chepa akan patah sayap, akan berlaku pertembungan dan akan berlaku kelemahan.

“Tidak boleh mana-mana legasi mendabik dada PAS Pengkalan Chepa hak legasi mereka sahaja. Pertembungan di antara dua legasi tokoh ini perlu dijaga.

“Krisis yang berlaku di Pengkalan Chepa tidak akan selesai jika kedua legasi tokoh ini tidak digabungkan untuk membina PAS Pengkalan Chepa.

“Apapun suara yang menjerit mengatakan, legasi tokoh ini adalah perjuangan sahaja tidak tepat kerana kedua-dua tokoh ini meninggalkan legasi anak sebagai pemimpin. Legasi keluarga juga perlu diraikan,” katanya.

Justeru, besar harapannya agar PAS Pengkalan Chepa kembali gemilang sebagaimana zaman kedua-dua tokoh Pak Nik Lah dan Tok guru Nik Aziz dulu.

Kenyataan yang dibuat itu dipercayai berkait kemelut yang berlaku membabitkan Nik Mohamad Abduh dan Mohd Amar selepas bekas Ahli Parlimen Bachok itu tidak dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427