Negara perlu ada strategi terhadap ‘Long COVID’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Malaysia wajar memiliki strategi khusus untuk mengenal pasti, menyelidik dan memulih kesan jangka panjang COVID-19 (Long COVID) terhadap penghidap.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kini sudah lebih dua juta rakyat negara ini terjangkit virus berkenaan dan angka itu mungkin lebih tinggi, menjadikan peratusan bekas pesakit mempunyai ‘Long COVID’ juga mungkin semakin ramai.

“Pemulihan kesihatan mereka ini sangat penting kepada kualiti kesihatan awam secara menyeluruh. Saya menyarankan kerajaan mula memberi perhatian kepada kes ‘Long COVID’ ini secara terpadu.

“Dasar kita menanggani pandemik ini tidak boleh terhenti dari segi pencegahan dan rawatan. Ia mesti merangkumi rawatan jangka masa panjang terhadap bekas pesakit serta pelbagai penyelidikan berkaitan,” katanya di media sosial hari ini.

Katanya, ‘Long COVID’ keadaan bekas pesakit terus mengalami pelbagai masalah kesihatan selepas pulih, dengan kebanyakannya berterusan selama empat ke 12 minggu, malah ada yang berlarutan sehingga sembilan bulan.

Kerajaan hingga kini, katanya, belum mengemuka data terperinci berkaitan masalah ini, namun beberapa universiti tempatan sudah mula menjalankan kajian terhadapnya.

“Lancet, jurnal perubatan paling berwibawa dalam terbitannya pada 28 Ogos 2021 menyatakan ‘Long COVID’ cabaran besar terhadap sektor perubatan. Banyak masih tidak diketahui tentangnya.

“Justeru pelbagai penyelidikan rentas disiplin sangat perlu untuk membolehkan rawatan terbaik diberikan,” katanya.

Beliau berkata, kefahaman mengenai kesan vaksinasi, kaedah rawatan dan pemulihan yang berkesan serta pelaburan untuk penyelidikan berkaitanya harus diberikan keutamaan.

Katanya, dunia perubatan akan terus terbeban dengan pelbagai cabaran baru kerana pandemik ini, memaksa pelaburan kesihatan negara tidak boleh lagi pada kadar empat peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sudah tiba masanya kita menyasarkan peruntukan tujuh ke lapan peratus KDNK negara untuk sektor kesihatan.

“Langkah ini permulaan baik untuk reformasi besar-besaran sektor perubatan dan kesihatan, selepas tekanan luar biasa terhadap sistem perubatan kita sejak Februari 2020,” katanya. -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427