KUALA LUMPUR: “Kalau boleh, jauhkan daripada individu yang mengambil kesempatan terhadap pasukan atau pun Raja Muda Selangor (RMS).”
Itu antara nasihat yang dikongsi pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada RMS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam satu pertemuan yang berlangsung baru baru ini.
Mendedahkan perkara itu dalam satu sesi temubual malam ini, Tunku Ismail turut berkongsi beberapa tips dalam pengurusan pasukan bola sepak seperti dilakukannya dalam mengendalikan skuad Harimau Selatan.
“Dia (RMS) tak sangka industri bola sepak berbeza dengan apa yang dijangkakan. Pemain ada idea sendiri dan cara pemain respon terhadap pemimpin. Ada juga (perbincangan) mengenai perancangan, teknologi dan pembangunan akar umbi untuk tingkatkan bola sepak negara.
“Saya juga tekankan untuk ada individu yang betul dalam pasukan. Dia pun ada cakap kalau apa-apa idea untuk perbaiki Selangor FC dan dia pun ada juga idea yang tersendiri.
“Saya kongsikan bahawa setiap kelab berdepan senario yang berbeza. Jadi kita perlu jumpa tonik yang betul untuk kawal pengurusan supaya tidak campur tangan banyak sangat dalam bilik persalinan,” katanya,
-BH