KUANTAN – Pelancong asing yang terkandas di negeri ini terharu apabila kebajikan mereka di negara ini terjaga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Patrick, 60, dari Luxembourg berkata, dia bernasib baik kerana menempuh situasi perintah berkurung atau kawalan pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Menurutnya, dia bersyukur dan tidak bimbang terkandas di Malaysia dalam situasi sebegini kerana rakyat dan kerajaan negara ini begitu prihatin terhadap nasib pelancong asing.
“Ini pertama kali alami situasi PKP ini. Berlaku pula di negara asing. Namun semasa kerajaan Malaysia mengumumkan PKP saya tidak bimbang untuk kekal di negara ini cuma saya bimbang urusan penyambungan visa kerana pejabat tutup.
“Namun saya sangat terharu pihak kerajaan Pahang datang sendiri melawat kami yang terkandas di sini dan bertanya masalah kami. Kalau di negara lain belum tentu kami diberi perhatian,” katanya yang pertama kali ke Malaysia pada 2011.
Sementara itu warga Francisco, Chico, 81, berkata, dia sepatutnya berangkat ke Thailand pada PKP fasa dua, namun bertindak membatalkan penerbangan kerana memikirkan Malaysia lebih selamat dan selesa.
“Saya mengikuti perkembangan dunia dan arahan kerajaan Malaysia. Saya sangat memuji tindakan kerajaan yang begitu pantas menangani Covid-19 dan mampu menjaga rakyat dengan baik.
“Saya lihat walaupun tidak dibenarkan bekerja, rakyat Malaysia patuh arahan kerajaan dan hidup harmoni. Mereka duduk di rumah dan tidak keluar sesuka hati walaupun joging di pantai. Malah saya tahu kerajaan Malaysia bantu rakyat dari segi kewangan.
“Saya pun dapat makanan percuma dengan bantuan masyarakat Malaysia. Tipikal Malaysia, memang baik dan suka membantu,” katanya.
Terdahulu Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu turut mengadakan lawatan dan soal jawab khas bersama tujuh warga asing tersebut.
Turut sama dalam lawatan itu adalah Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar dan Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya.
Mohd Sharkar berkata, setakat ini 155 pelancong asing dikenal pasti terkandas di negeri ini dan pihaknya masih mengenal pasti jumlah pelancong asing yang terkandas di seluruh negeri ini.
Pengusaha hotel dan homestay diminta menghubungi Tourism Pahang dan Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan negeri bagi memaklumkan keberadaan pelancong di tempat mereka.
-Sinar Harian