PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menolak saranan Bank Dunia supaya menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun secara berperingkat, menyatakan ia hanya akan menyebabkan lebih banyak pengangguran dalam kalangan belia.
Sebaliknya, kerajaan perlu menaikkan gaji minimum, kata Timbalan Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani dalam temubual dengan FMT.
Bagaimanapun, seorang ahli ekonomi, Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata, umur persaraan yang lebih tinggi akan membantu rakyat lebih tua untuk berdikari lebih lama, dan juga mengekalkan permintaan agregat dalam ekonomi.
Effendy berkata, pasaran pekerjaan sekarang “sangat tinggi permintaan” dan kenaikan umur persaraan itu akan mempengaruhi pencari kerja baru.
“Ini akan mempengaruhi generasi muda. Dijangka seramai 280,000 graduan baru menjelang akhir tahun ini, dan akan ada peningkatan dalam kadar pengangguran kerana peluang pekerjaan yang terhad bagi mereka,” katanya.
Sementara beliau mengakui idea untuk “persaraan yang bahagia pada usia 60” menjadi hakikat yang mustahil kerana simpanan tidak mencukupi, Effendy berkata lebih tepat jika kerajaan melanjutkan usia persaraan berdasarkan kes demi kes mengikut sektor individu, kepakaran dan kemahiran.
Effendy berkata, satu tinjauan pada 2018 terhadap 1,000 rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 55 tahun dijalankan Agensi Kaunseling Kredit dan Pengurusan Kredit mendapati lebih daripada 50% responden mungkin tidak bersedia secara kewangan untuk persaraan.
Beliau berkata, MTUC lebih bersetuju kerajaan menaikkan gaji minimum daripada menaikkan usia persaraan minimum – satu pandangan di mana Cuepacs, kesatuan penjawat awam terbesar di negara ini, turut berkongsi beberapa hari lepas.
Nambiar berkata, ketika Malaysia menuju ke sebuah negara mempunyai populasi menua, rakyat perlu menghabiskan lebih banyak simpanan mereka untuk mengekalkan kos sara hidup dan penjagaan kesihatan seiring dengan kemajuan.
“Apabila anda semakin tua, anda lebih cenderung jatuh sakit dan ia melibatkan kos,” katanya. “Siapa yang akan tanggung kos ini?”
Nambiar juga tidak setuju peningkatan jumlah graduan baru, dan kurangnya peluang pekerjaan dijadikan alasan untuk mengekalkan usia persaraan pada tahap rendah.
“Ekonomi perlu berkembang; lebih banyak pekerjaan mesti dijana,” katanya. “Kita tidak boleh terus fikir jumlah pekerjaan yang tersedia sebagai satu bilangan yang tetap.” -FMT