PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia, RJ Nagarajan yang berjaya menakluk puncak Everest, Isnin lalu diselamatkan beberapa malim gunung atau sherpa selepas mengalami simptom buta salji ketika dalam perjalanan turun dari puncak tertinggi dunia itu menuju ke kem empat Everest.
Simptom yang terjadi kesan pantulan pancaran sinar matahari ke atas salji itu menyukarkan penglihatan dan membataskan pergerakan turun Nagarajan, 59, selepas menawan puncak Everest pada ketinggian 8,848 meter menerusi misi program ZeroTo8000.
Perunding swasta itu turut mengalami radang dingin (frostbite) di kedua-dua tangan dan kaki serta pipi kesan cuaca sejuk ekstrem melebihi – 40 darjah Celcius.
Nagarajan, lebih mesra dipanggil RJ atau Rajan dibantu sherpa di sekitar kawasan South Summit ketika dalam perjananan turun menuju kem empat.
Nagarajan kemudian dibawa menaiki helikopter bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kathmandu sekitar jam 7.30 pagi semalam (waktu tempatan).
Nagarajan yang dihubungi hari ini memaklumkan keadaannya stabil dan sedang menjalani prosedur merawat radang dingin dialaminya selain penglihatannya kian beransur pulih.
“Saya bersyukur dapat menyelesaikan misi dengan berjaya dan selamat, sepanjang pendakian ke puncak saya rasa cukup bertenaga ditambah dorongan dan kata semangat keluarga, rakan dan rakyat Malaysia.
“Cuma nasib tidak menyebelahi ketika dalam perjananan turun ke kem empat, simptom buta salji (snowblind) mengganggu penglihatan saya dan menyukarkan pergerakan turun.
“Namun saya berterima kasih kepada malim gunung (Kancha Sherpa dan Phasang Sherpa) yang berhati besar membantu saya dalam keadaan dan kawasan sukar itu sehingga dibawa ke kem empat dan seterusnya ke hospital,” katanya.
Dia berkata, pendakian ke puncak Everest sememangnya mencabar namun bagi musim tahun ini keadaan cuaca terlalu sejuk.
“Everest tahun ini agak sejuk berbanding kebiasaan, malah dimaklumkan ramai juga pendaki mengalami radang dingin,” katanya.
Dalam pada itu, Nagarajan berkata, dia turut terkejut selepas dimaklumkan mengenai kejadian malang menimpa dua pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Iskandar Ampuan Yaacub, 56, dan Muhammad Hawari Hashim, 33.
Awang Iskandar meninggal dunia selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Everest pada jam 10.30 pagi Jumaat lalu waktu Nepal (12.45 tengahari waktu Malaysia) ketika sedang menerima rawatan lanjut di Kem 4.
“Saya hanya tahu semalam selepas dimaklum Pengasas ZeroTo8000, Mohd Khafiz Bachok yang menemui dan menguruskan kemasukan saya di hospital di sini.
“Saya bersimpati dan berharap Muhammad Hawari ditemui dengan selamat, saya pernah bertemu dan menyantuni pasukan mereka ketika di Kem Satu Everest sebelum ini,” katanya.
Isnin lalu, Nagarajan tiba di puncak Everest tepat jam 10.30 pagi (12.45 tengah hari waktu Malaysia) bersama kibaran Jalur Gemilang.
Kejayaan itu juga menjadikan Nagrajan rakyat Malaysia kedua berjaya mendaki semua tujuh puncak tertinggi di tujuh benua (versi Ralhold Messner) selepas penjelajah negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Impian seterusnya bagi Nagarajan adalah melengkapkan misi penjelajahan di Kutub Utara dan Kutub Selatan.
– Berita Harian