Nafi banjir di Kuala Krai disebabkan pembalakan – MB

Estimate Reading Time: < 1 minute

TUMPAT: Kerajaan Kelantan menafikan kejadian banjir yang berlaku di Chuchoh Puteri, Kuala Krai baru-baru ini disebabkan kegiatan pembalakan sebaliknya mungkin berpunca daripada aktiviti penerokaan haram.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata kegiatan pembalakan dijalankan di luar kawasan Sungai Rek secara sah dan berlesen.

“Bila kita minta penjelasan daripada Pejabat Perhutanan, memang benar berlaku (pembalakan), tapi di luar kawasan Sungai Rek dan dilakukan secara lesen.

“Kalau ingin mengaitkan kejadian itu (banjir di Chuchoh Puteri) dengan aktiviti pembalakan, itu tidak betul sebab ia dijalankan mengikut kaedah yang ditetapkan dan secara berperingkat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Berkhatan Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan di sini hari ini.

Seramai 120 kanak-kanak dari DUN itu mendaftarkan diri untuk program berkhatan yang dijadikan acara tahunan itu.

Ahmad berkata, pihaknya sudah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Perhutanan Negeri membuat semakan terperinci berhubung aktiviti penerokaan haram di kawasan berkenaan.

Katanya, tindakan segera akan diambil sekiranya benar terdapat aktiviti penerokaan haram berlaku.

“Saya sudah arahkan pihak berwajib menyiasat secara rapi dan jika ada (penerokaan haram), itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, penempatan penduduk di Kampung Chuchoh Puteri dibadai fenomena ‘kepala air’ dan 20 keluarga yang terperangkap dalam kejadian itu terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat oleh pasukan keselamatan.

Terdahulu, satu rakaman video tular di Facebook (FB) dan aplikasi WhatsApp menunjukkan keadaan arus deras di kampung berkenaan.

Ketika diminta mengulas mengenai gelombang kedua yang dijangka berlaku pada 25 atau 26 Disember ini, Ahmad meminta orang ramai lebih berwaspada dan membuat persiapan lebih awal.

“Pihak jawatankuasa pengurusan banjir juga sudah bersedia termasuk bekalan makanan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang akan beroperasi bila-bila masa diperlukan.

“Saya harap semua sudah mengambil pengajaran dari gelombang pertama apabila taburan hujan berlaku lebih daripada jangkaan,” katanya. -The Star

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427