KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sudah menyiapkan laporan mengenai aktiviti kartel dan amalan monopoli membabitkan industri padi dan beras negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, bagaimanapun berkata, pihaknya tidak boleh memberikan perincian lanjut sehingga laporan rasmi dikeluarkan.
“Berkenaan (isu) beras dan petani, saya nak maklumkan MyCC sudah menyiapkan laporan mengenai kartel padi dan beras.
“Tapi saya tak boleh jelaskan di sini hingga laporan rasmi didedahkan, tetapi setakat ini, isu ini sudah pun diselesaikan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang ingin tahu sejauh mana kerajaan mengambil tindakan ke atas kartel dan aktiviti monopoli yang didakwa mempengaruhi harga jualan bahan mentah dan makanan semasa.
Fuziah menjelaskan berkemungkinan laporan MYCC itu mendedahkan penyalahgunaan kedudukan dominan syarikat tertentu yang mengawal bekalan berkaitan industri padi dan beras, antaranya benih import.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail memaklumkan hasil kajian am membabitkan industri padi dan beras di negara ini akan dibentangkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akhir September.
Menurut Iskandar, selepas dibawa ke KPDN ia akan dibentangkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Gesaan bagi menghapuskan amalan kartel import baja dan benih dalam industri padi dan beras negara turut disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024, September lalu.
Anwar berkata, usaha berkenaan memerlukan tekad politik dan ketegasan menteri yang berkenaan.
Beliau turut menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu perkembangan inisiatif Menu Rahmah yang semakin ‘hambar’ dengan ramai peniaga didakwa tidak berminat meneruskannya.
Fuziah dalam jawapannya berkata, bagi menggalakkan pengusaha makanan menjayakan inisiatif itu, KPDN menambah baik sistem Kad Diskaun Khas Menu Rahmah.
Memperincikan langkah diambil, katanya, KPDN kini menawarkan penggunaan
kad terbabit untuk digunakan di Jualan Rahmah.
“November tahun lalu kita perkenalkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah untuk beri diskaun kepada pengusaha Menu Rahmah supaya mereka boleh beri barangan keperluan memasak dengan potongan harga.
“Tetapi kita dapati ada masalah kerana pasar raya yang tawar perkhidmatan untuk diskaun menggunakan sistem berbeza.
“Jadi kita atasi masalah terbabit dengan cara (selain beli di pasar raya terpilih), kita menawarkan diskaun kepada operator menu rahmah untuk beli bahan mentah di Jualan Rahmah dan dibenarkan beli contohnya ayam, kalau dulu boleh beli seekor, tetapi (kini) boleh beli lebih daripada itu,” katanya.
Untuk rekod, Mei lalu, KPDN memaklumkan pengusaha dan peniaga makanan yang memiliki kad diskaun khas ini berpeluang mendapat kemudahan diskaun sehingga 40 peratus bagi pembelian barangan keperluan perniagaan di tujuh pasar raya terpilih yang menjadi rakan strategik KPDN.
KPDN memberikan kelulusan secara automatik kepada pengusaha yang menawarkan Menu Rahmah dengan permohonan boleh dikemukakan melalui portal https://menurahmah.kpdn.gov.my.
-BeritaHarian