KUANTAN: Empat pelukis mural ‘penyu gergasi’ yang seakan terdampar di Pantai Tanjung Pelindung, di sini tidak menyangka kemunculan haiwan itu menjadi daya tarikan baharu di pantai berkenaan.
Dikenali sebagai ‘Project ZeroSix’, projek mural diketuai Amir Faruk, 34, Kamal Idris, 33, Azri Azahar, 35, dan Muhd Ikmal Manan, 29, itu mengambil tempoh selama lima hari untuk disiapkan.
“Pada awalnya, kami tidak menyangka mural ini mendapat perhatian sehingga tular di media sosial selepas ia siap sepenuhnya pada 16 Julai lalu.
Namun, segala penat lelah itu berbaloi apabila mendapat liputan meluas tidak sampai sebulan hingga pantai Tanjung Pelindung kini menjadi destinasi pilihan pengunjung setiap hari, terutama pada waktu petang.
“Pengunjung bukan saja dari sekitar Kuantan, malah Terengganu dan Kelantan yang turut sama tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan ‘penyu gergasi’ ini dengan lebih dekat,” kata Amir.
Beliau berkata, sebenarnya idea asal daripada Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Datuk Hamdan Hussin itu turut mendapat kerjasama dan sokongan Tourism Pahang.
Katanya, sokongan itu berjaya merealisasikan batu sepanjang 20 meter dan tinggi 10 meter itu digambarkan sebagai seekor penyu yang seakan terdampar.
“Kami difahamkan, Pantai Tanjung Pelindung ini antara destinasi persinggahan penyu sekitar tahun 1980 dan 1990-an dalam kalangan penduduk sekitar.
“Dengan adanya penyu ini di sini, kami percaya ia akan menjadi daya tarikan pelancongan baharu di Kuantan.
Namun, kami mengharapkan pengunjung dapat menjaga kebersihan iaitu tidak membuang sampah di pantai ini,” katanya.
Terdahulu, tidak sampai tempoh sebulan di media sosial sejak minggu lalu, menyaksikan kemunculan ‘penyu gergasi’ berkenaan menjadi tarikan hingga dikunjungi orang ramai.
Rata-rata pengunjung memuji kreativiti pelukis mural yang dilihat berjaya mengubah batu yang terdapat di pantai itu menjadi seekor penyu gergasi, sekali gus menarik orang ramai berkunjung ke pantai itu.
-BeritaHarian