Muhyiddin jumpa Jokowi di Jakarta

Estimate Reading Time: 2 minutes

JAKARTA: Acara kemuncak lawatan rasmi Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia, hari ini adalah mesyuarat empat mata antara Perdana Menteri dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Mesyuarat secara bersemuka itu akan berlangsung di Istana Merdeka, di sini.

Muhyiddin dijadualkan tiba di istana berkenaan pada jam 10.30 pagi (11.30 pagi waktu Malaysia) dan akan diberikan sambutan negara sebelum kedua-dua pemimpin meneruskan dengan acara mesyuarat.

Mesyuarat akan berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard pencegahan COVID-19 yang ketat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma, Jakarta pada jam 4.30 petang (waktu tempatan) semalam. Ketibaan mereka disambut Menteri Dalam Negeri Indonesia Tito Karnavian (kanan), Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Zainal Abidin Bakar. – Foto BERNAMA/PMO

Seorang diplomat Malaysia di Indonesia, berkongsi dengan media baru-baru ini mengenai pentingnya pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu.

“Terdapat beberapa perkara yang menyentuh kepentingan kedua-dua negara yang memerlukan perbincangan peringkat tertinggi, perbincangan secara bersemuka dan dari hati ke hati,” kata Duta Besar Malaysia untuk Indonesia Datuk Zainal Abidin Bakar.

Kemudiannya, kedua-dua pemimpin berkenaan akan mengadakan sidang media bersama sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Baiturrahim di kompleks istana.

Presiden yang terkenal dengan panggilan Jokowi itu akan menjadi hos acara jamuan makan tengah hari rasmi sempena lawatan perdana menteri bersama rombongan kecilnya di istana presiden lain, iaitu Istana Negara di sini, dengan pematuhan SOP yang ketat.

Muhyiddin yang tiba di sini pada jam 4.30 petang semalam, akan menamatkan lawatan rasminya dalam tempoh kurang 24 jam.

Lawatan diadakan atas undangan Presiden Indonesia dan ini adalah lawatan rasmi pertama Muhyiddin sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mac tahun lalu. – BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427