MPP masih relevan

Estimate Reading Time: 4 minutes

PETALING JAYA: Kewujudan badan pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau kesatuan pelajar universiti bermula sejak tarikh penubuhan mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT).

Ini menunjukkan kepentingannya kepada ekosistem pengajaran dan pembelajaran sesebuah IPT.

Sifat kepemimpinan, keberanian berkongsi pendapat dan pengalaman berorganisasi, adalah beberapa kualiti diri yang bakal diperoleh pelajar yang terbabit dengan MPP.

MPP atau kesatuan pelajar bertindak mewakili mahasiswa dalam segala hal dan menyuarakan isi hati serta pandangan.

Mereka juga berperanan membantu pihak pengurusan dalam mengenal pasti keperluan dan kebajikan pelajar.

Namun kini, dengan perkembangan teknologi, sesiapa saja mampu menyampaikan segala permasalahan atau pendapat terus kepada pihak berwajib.

Platform media sosial seperti Facebook, Telegram, WhatsApp memudahkan lagi pelajar berurusan terus dengan pihak universiti.

Justeru, adakah fungsi MPP kini masih relevan dengan adanya media sosial yang membenarkan sesiapa sahaja berinteraksi atau menyampaikan permasalahan dihadapi dengan pihak berwajib, tanpa melalui MPP atau kesatuan pelajar?

KEBOLEHAN melontar pendapat secara terhormat merupakan ciri pemimpin pelajar yang dicari – Gambar hiasan

Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) Muhammad Haziq Azfar Ishak berkata, jika MPP menjadi badan yang benar-benar membawa suara mahasiswa kepada semua pihak dengan menjadi pendesak seperti NGO yang lainnya, maka MPP sepanjang zaman akan menjadi relevan kepada mahasiswa.

Bagaimanapun, sekiranya peranan MPP hanya sekadar untuk menghebahkan apa yang berlaku mengenai perkembangan ketika cuti atau polisi semasa universiti, maka baginya MPP ini tidak relevan.

“Kini, semua mempunyai Facebook, Telegram dan banyak lagi platform media sosial yang memudahkan perhubungan kepada semua pihak.

“Jadi, MPP atau kesatuan pelajar perlu menjadi badan yang benar-benar membawa suara mahasiswa kepada semua pihak.

“Walaupun ia mungkin sukar diterima pihak universiti, tapi MPP perlu mempertahankan apa yang dirasakan adalah aspirasi kolektif mahasiswa terhadap satu-satu isu berkaitan kebajikan mereka,” katanya.

Menyentuh soal langkah terbaik dalam menjadikan MPP sebagai medium pelajar mengutarakan permasalahan mereka, kata Muhammad Haziq ada beberapa garis panduan yang mungkin boleh dilakukan perwakilan.

“Sebagai wakil pelajar, kita seharusnya mudah didekati, rajin menjawab telefon atau membalas mesej dan tunjukkan kita juga adalah pelajar sama seperti mereka.

“Kita juga perlu cepat bertindak kerana ada kalanya isu yang dibangkitkan mahasiswa. Ini kerana, sebagai perwakilan pelajar, kita terbabit dengan banyak mesyuarat dengan pihak universiti.

“Jadi, kita ada ruang untuk mengetahui langkah yang perlu diambil sekali gus dapat menyelesaikan masalah dihadapi dengan cepat,” katanya.

PENYERTAAN dalam aktiviti badan pelajar akan mendedahkan mahasiswa kepada kepelbagaian pemikiran dan latarbelakang. – Gambar hiasan

Sementara itu, Sekretariat Keusahawanan MPP Universiti Putra Malaysia (UPM) Nazrul Irfanradi Nazarulanuar pula berkata, MPP masih relevan dan akan menjadi terus relevan pada masa akan datang.

Menurutnya, walaupun media sosial membenarkan sesiapa sahaja untuk berinteraksi dengan pihak berwajib, dia yakin dan percaya bahawa setiap perkara mesti mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu patuhi.

“MPP sebagai penghubung antara pihak berwajib universiti dan pelajar. Ia juga saluran utama bagi pelajar untuk menyampaikan apa juga perkara kepada pihak univerisiti.

“Bagaimanapun, sebelum ia sampai kepada pihak berwajib atau dikenali sebagai ‘decision maker’ permasalahan atau pendapat itu perlu terlebih dahulu sampai kepada MPP supaya mana-mana perkara yang boleh diselesaikan tanpa campur tangan pihak berwajib, boleh diselesaikan di peringkat MPP saja,” katanya.

Tanggungjawab sebagai MPP adalah mandat yang diberikan pelajar untuk menjaga kebajikan dan kepentingan mereka di univerisiti.

Jadi, kata Nazrul Irfanradi, setiap MPP perlulah bergerak lebih aktif dan proaktif bagi mengetahui sendiri masalah yang dihadapi pelajar daripada sekadar hanya menunggu mereka datang.

“Sebagai perwakilan pelajar saya mengguna pakai konsep ‘Open Door Policy’ iaitu mana-mana pelajar tidak mengira kaum, bangsa dan agama boleh datang kepasa saya untuk memberitahu masalah dihadapi dan cuba membantu.

“Selain itu, saya juga akan menyelesaikan apa jua masalah yang sudah lama dihadapi pelajar di fakulti saya,” katanya.

Salah satu permasalahan yang dapat diselesaikan Nazrul Irfanradi adalah mengubah waktu latihan industri.

“Latihan industri bagi pelajar perakaunan di UPM diadakan ketika semester enam tetapi ramai pelajar yang mahukan ia dijalankan pada semester lapan.

“Oleh itu, saya sendiri membuat kertas cadangan dan mendapatkan maklum balas daripada hampir seluruh pelajar perakaunan di fakulti, seterusnya menghantarnya kepada pihak berwajib.

“Alhamdulillah, akhirnya permohonan bagi anjakan latihan industri pelajar Bacelor Perakaunan berjaya diluluskan senat UPM. Kejayaan itu juga dibantu pihak pengurusan termasuk Timbalan Dekan (Prasiswazah dan Alumni) Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM Prof Madya Dr Norashidah Mohamed Nor dan Ketua Jabatan Perakaunan UPM Dr Ridzwana dari segi penghasilan serta penghantaran kertas cadangan terbabit kepada pihak atasan UPM,” katanya.

DINAMISME dalam tugasan berkumpulan mendedahkan mahasiswa kepada realiti alam pekerjaan kelak – Gambar hiasan

Sementara itu, Profesor Madya Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Fakulti Kejuruteraan UM, Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, sebagai entiti yang mewakili aspirasi dan inspirasi mahasiswa di institusi pengajian tinggi, badan pelajar akan kekal relevan.

Menurutnya, apa yang perlu difahami semua pihak ialah kerelevanan ini perlu mengambil kira aspek pengurusan harapan (‘managing expectations’).

“Badan pelajar akan terus relevan di menara gading sebagai tempat untuk mahasiswa cuba mengambil peranan sebagai ejen perubahan masyarakat dari peringkat perancang sampailah ke pelaksana.

“Proses ini akan berhasil jika kegiatan mereka terus dipantau melalui mekanisme yang dinamik dan bersifat terbuka,” katanya.

Kata Dr Nahrizul Adib, kini mahasiswa mempunyai lebih banyak ruang untuk mengekspresi diri dan pendapat politik selagi mana ia dilaksanakan melalui platform dan ekosistem yang terbuka serta saling menghormati.

“Seperti mana aspek kehidupan mahasiswa yang lain, sifat agresif dan kompetitif yang ditunjukkan mereka seharusnya dilihat sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.

“Jika semua pihak dapat melihatnya sebagai proses pembelajaran, ini bakal menghasilkan pelapis pemimpin negara yang matang dan tidak mudah melatah apabila berdepan dengan isu sensitif,” katanya.

-Harian Metro

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427