BANGKOK: Jabatan Kawalan Penyakit Thailand semalam mengesahkan kes cacar monyet atau mpox yang dilaporkan minggu ini adalah strain clade 1b virus itu.
Ketua Pengarah jabatan itu, Dr Thongchai Keeratihuttayakorn, mendedahkan keputusan makmal Jabatan Sains Perubatan mengesahkan kehadiran strain clade 1b pada seorang pesakit Eropah berusia 66 tahun yang dijangkiti penyakit berkenaan.
“Ini adalah pesakit pertama terbabit di Thailand. Mulai sekarang, keputusan itu perlu dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengikut piawaian Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Kelmarin, jabatan berkenaan melaporkan pesakit Eropah itu disahkan menghidap mpox selepas melakukan perjalanan dari sebuah negara Afrika yang mengalami wabak terbabit serta transit di negara Asia Barat sebelum tiba di Thailand pada jam 6 petang 14 Ogos lalu.
Pesakit itu mengalami demam dan lesi kulit pada 15 Ogos lalu menyebabkannya mendapatkan rawatan perubatan, dengan ujian seterusnya mengenal pasti mpox sebagai puncanya.
Dr Thongchai bagaimanapun memaklumkan daripada seramai 43 kontak rapat pesakit berkenaan, tiada yang menunjukkan sebarang gejala, setakat ini.
“Jabatan Kawalan Penyakit akan terus memantau dan membuat susulan simptom hingga 21 hari,” katanya.
-BERNAMA
-BeritaHarian