Mosti, KKM bermesyuarat putuskan dasar untuk hospital swasta beli vaksin

Estimate Reading Time: 2 minutes

GEORGE TOWN, 1 April  — Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia minggu hadapan, bagi memutuskan dasar dan kerangka kerja untuk hospital swasta membeli vaksin terus dari pembekal.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, kebenaran telah diberi kepada hospital swasta untuk berunding dengan pembekal bagi pembelian vaksin COVID-19, namun perkara itu masih dalam peringkat awal.

Menurutnya, beliau telah menerima surat permohonan daripada Persatuan Hospital Swasta Malaysia dan kebenaran pemberian akan diberikan kepada hospital swasta, untuk berunding pembelian vaksin terus dengan pembekal.

“Saya sebagai perunding pihak Kerajaan bagi pemberian vaksin, saya tahu bahawa pasaran vaksin sekarang ini sangat-sangat terhad, dan kalau mereka (hospital swasta) dapat pun mungkin penghantaran hujung tahun ini atau tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin di Kompleks Masyarakat Penyayang sini hari ini.

Beliau berkata, kebenaran itu turut diberikan kepada mana-mana Kerajaan negeri yang berminat untuk berunding pembelian vaksin, terus dengan pembekal.

“Percayalah saya, mereka tidak akan mendapat vaksin sehingga hujung tahun ini atau awal tahun depan. Ini kerana semua vaksin yang diluluskan seperti vaksin Pfizer-BioNTech hanya jual kepada kerajaan negara, vaksin AstraZeneca penghantaran kita mula Jun, manakala vaksin Sinovac kita dapat hanya dikilang di Malaysia,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pihak yang ingin menempah terus dengan pembekal vaksin, supaya tidak menaruh harapan tinggi untuk mendapat vaksin dengan cepat.

Sementara itu, Khairy berkata pihaknya sedang mengkaji dengan pihak KKM dan Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin, untuk memberi kemudahan kepada mereka yang telah terima dua dos vaksin.

“Kita, KKM dan Jawatankuasa jaminan akses vaksin sedang berbincang mungkin untuk masa akan datang, kalau sudah terima 2 dos vaksin, mungkin dibenarkan kemudahan kemudahan tertentu, itu masih sedang kita kaji data klinikalnya,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, jumlah pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah melepasi 7.5 juta bersamaan dengan 30 peratus sasaran negara.

“Kita sedang melihat peningkatan yang agak stabil dan saya yakin apabila kita mula fasa 2 pada bulan 19 April, kita akan lihat lebih ramai berdaftar,” katanya.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427