BINTULU- Pasukan penyelam akan membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan Bintulu yang masuk hari kedua hari ini untuk membuat selaman di sekitar lokasi kejadian.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata, permohonan untuk pasukan selam menyertai operasi telah dibuat bagi membantu membuat selaman di lokasi kejadian bot karam untuk tujuan mengenalpasti nombor pendaftaran bot.
“Pasukan penyelaman diperlukan untuk membuat pemeriksaan jika terdapat mangsa dalam bot itu,” katanya sambil menyatakan ketika rondaan dilakukan di lokasi kejadian mendapati bot fiber itu telah tiada dipercayai tenggelam atau hanyut.
Maritim berkata, pasukan mencari dan menyelamat telah meluaskan kawasan operasi pencarian seluas 12.6 batu nautika persegi semalam dan setakat ini tiada laporan diterima berkaitan kehilangan nelayan.
Operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pukul 10.15 pagi semalam setelah laporan penemuan bot fiber warna oren tanpa nombor serta pemilik masih belum diketahui sehingga kini diterima pada pukul 9.35 pagi semalam.- BERNAMA