Minyak sawit Malaysia tembus pasaran baharu 3 negara

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Minyak sawit Malaysia berjaya menembusi pasaran global baharu dengan sekurang-kurangnya tiga negara yang tidak pernah mengimport komoditi itu sebelum ini, sudah mula membuat pembelian.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata Estonia, Republik Czech dan Hungary sudah mula membeli minyak sawit Malaysia sejak beberapa bulan kebelakangan.

“Ini membuktikan komoditi utama negara ini mendapat pengiktirafan dan penerimaan antarabangsa yang lebih tinggi, seiring dengan matlamat kempen Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit.

“Melihat perkembangan semasa, saya menyambut baik situasi ini. Bagi saya, ia bukanlah perkara mustahil setelah melihat usaha agresif dilakukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sejak Januari hingga Julai lalu, katanya, Estonia telah mengimport 2,501 tan minyak sawit Malaysia bernilai RM20.22 juta, Republik Czech dengan 95 tan bernilai RM0.88 juta dan Hungary membawa masuk 853 tan bernilai RM6.73 juta.

“Walaupun jumlah dan nilai import minyak sawit Malaysia dari negara-negara ini tidak setinggi India dan Turkiye, ini masih perkembangan yang menggalakkan kerana tiga negara itu adalah pasaran baharu.

“Dengan selangkah kaki masuk ke pintu negara-negara ini, ia membolehkan kita mengembangkan lagi pasaran minyak sawit Malaysia di sana untuk tempoh jangka panjang,” katanya.

Zuraida memaklumkan, KPPK agresif dalam usaha memasarkan minyak sawit negara di peringkat global serta menangkis mitos yang dimainkan pihak tertentu dan propaganda antiminyak sawit oleh Barat.

Katanya, pasaran baharu itu wujud, sebahagiannya disebabkan konflik di Ukraine, yang mengakibatkan gangguan kepada bekalan minyak bunga matahari dan minyak ‘rapeseed’, namun ia dilihat sebagai permulaan yang baik.

“Minyak sawit Malaysia akan terus mendapat permintaan walaupun setelah konflik ini tamat. Pada masa sama, KPPK juga menetapkan sasaran untuk mengeksport minyak sawit Malaysia ke lebih banyak negara bukan tradisional, khususnya di Kesatuan Eropah (EU).

“KPPK juga akan berusaha mengembangkan pasaran dalam kalangan negara-negara pengimport. Usaha ini akan dilakukan dengan pemperkukuh pasaran eksport utama sedia ada, khususnya di India, China, Pakistan dan EU.

“Selain itu, mempromosi produk minyak sawit secara lebih agresif untuk menembusi pasaran baharu seperti di Afrika dan rantau Asia Tengah dan meningkatkan aktiviti penyelidikan serta pembangunan (R&D) dalam pengeluaran produk baharu,” katanya.

Usaha lain, katanya, adalah dengan menambah nilai produk komoditi dalam industri hiliran, meningkatkan akses kepada pasaran lebih luas melalui perundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala serta perundingan serantau atau pelbagai hala.

Zuraida berkata, maklum balas daripada pasaran baharu menunjukkan negara-negara berkenaan yakin dengan kualiti minyak sawit Malaysia kerana produktiviti yang tinggi, ketersediaannya sepanjang tahun dan kepelbagaian kegunaannya dalam sektor makanan dan bukan makanan.

“KPPK akan terus memanfaatkan kekuatan ini, sekali gus menunjukkan kejayaan kempen Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit.

“Sebelum ini, ramai khususnya di EU, tidak tahu kelebihan dan manfaat minyak sawit Malaysia berikutan kempen fitnah yang berterusan selama beberapa dekad. Penerimaan minyak sawit di pasaran kini semakin meningkat berikutan kesedaran yang tinggi.

“Ia hasil usaha promosi warga kementerian, termasuk melalui misi perdagangan antarabangsa yang telah kami adakan dan tidak akan terhenti di sini. KPPK komited untuk terus memacu sektor sawit yang kukuh dan kekal berdaya saing,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427