MADRID: Lionel Messi sanggup melepaskan peluang meledak hatrik ketika Barcelona bangkit menumpaskan Getafe 5-2 hari ini, sekali gus terus bersaing untuk mencabar kejuaraan La Liga hari ini.
Selepas menjaringkan dua gol Messi berpeluang melengkapkan hatrik pada waktu kecederaan, namun dia menyerahkan sepakan penalti kepada Antoine Griezmann yang menyempurnakannya untuk kemenangan selesa di Camp Nou.
“Dia (Messi) pemain terbaik di dunia dan prestasinya tidak pernah menurun. Jika sekalipun dia memperlahankan aksinya, tiada siapa akan perasan.
“Saya harap dia akan kekal untuk beberapa tahun akan datang,” kata pengendali Barcelona, Ronald Koeman.
Selepas menjuarai Piala Raja Sepanyol minggu lalu, Barca kini memburu kejuaraan berganda dan hanya lima mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid dengan kelebihan satu perlawanan.
Atletico menewaskan Huesca 2-0 untuk kemenangan berturut-turut pertama sejak Januari dan Real Madrid juga masih dalam persaingan selepas menewaskan Cadiz kelmarin.-UTUSAN