KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana menipu seorang bekas setiausaha politik dengan menyamar pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Izralizam Sanusi turut memerintahkan Md Nizam Md Yacob, 36, dipenjara tiga tahun jika gagal membayar denda itu, namun tertuduh membayar denda dikenakan.
Md Nizam mengaku bersalah atas dakwaan menipu lelaki berusia 48 tahun itu dengan menyamar pegawai penyiasat SPRM dari Putrajaya sehingga mendorong mangsa mempercayai tertuduh dapat menyelesaikan kes mangsa yang akan dituduh SPRM.
Perbuatan itu menyebabkan bekas setiausaha politik terbabit menyerahkan wang RM50,000 kepada tertuduh untuk menyelesaikan tuduhan dengan SPRM, sedangkan mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan.
Md Nizam didakwa melakukan kesalahan itu di joki kereta sebuah hotel di Jalan Putra, Chow Kit di sini pada jam 11.26 pagi 9 November 2018 mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Ketika rayuan, Md Nizam yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda minimum kepadanya dengan alasan dia tidak bekerja dan menanggung keluarga, selain menyesal serta berjanji tidak melakukan kesalahan sama.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah mengenakan hukuman denda antara RM30,000 hingga RM40,000 kepada tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam serta pengakuan salah tertuduh kali pertama pertuduhan dibacakan.
Mengikut fakta kes, pada 1 November 2018, tertuduh menghubungi mangsa dan memperkenalkan dirinya pegawai penyiasat SPRM yang bertanggungjawab menyiasat kes mangsa.
Dalam perbualan itu juga, tertuduh turut memaklumkan mangsa mempunyai 76 pertuduhan rasuah bagi kesalahan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.
Pada 8 November 2018, tertuduh berjumpa mangsa di sebuah restoran di Damansara dan pada pertemuan itu, tertuduh meminta mangsa membayar RM2 juta bagi menyelesaikan kes dengan syarat perlu membayar wang pendahuluan RM500,000 pada malam itu.
Namun, mangsa merayu untuk dua kali pembayaran dibuat dengan RM200,000 dibayar pada malam itu dan RM300,000 dibayar keesokan hari.
Pada jam 11 pagi 9 November 2018, mangsa kemudian menyerahkan RM50,000 kepada tertuduh.–BERNAMA