SAAT meniti hari tua pelbagai masalah kesihatan mendatang, antaranya menghidap Alzheimer, iaitu penyakit yang progresif menyebabkan lupa ingatan dan fungsi mental penting yang lain.
Penyakit Alzheimer adalah sejenis demensia (nyanyuk) yang lazim berlaku apabila
gangguan otak progresif yang berlaku apabila terdapat pembentukan protein yang tidak normal pada otak sehingga menyebabkan daya ingatan, pemikiran dan kemahiran menaakul seseorang semakin merosot.
Justeru, pengesanan dan pemahaman awal kunci mengemudi perjalanan yang mencabar ini
Pakar Perunding Geriatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Teh Hoon Lang, berkata demensia bukan sebahagian proses penuaan normal, sebaliknya gangguan kompleks terhadap fungsi otak yang mampu menjejaskan kehidupan seharian.
“Beberapa kajian, lebih 8.5 peratus rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas menghidap demensia, dengan kelaziman yang lebih tinggi dalam kalangan wanita,” katanya.
Keadaan neurologi ini akan menjadi semakin merosot dari semasa ke semasa.
Namun begitu, katanya, bukan semua keadaan demensia disebabkan oleh penyakit Alzheimer.
Terdapat penyakit lain turut menyumbang kepada demensia, termasuk Demensia Vaskular, Demensia Campuran, Demensia Lewy Body, demensia kerana penyakit Parkinson dan sebagainya.
Mengesan petanda awal
Dr Hoon Lang berkata, tanda-tanda awal penyakit demensia boleh bersifat ringan dan mungkin berlaku tanpa disedari.
Ramai mungkin beranggapan gejala ini sebagai sebahagian daripada proses penuaan biasa.
Bagaimanapun, jika gejala mula menjejaskan kehidupan seharian seseorang, ia boleh ditafsir sebagai tanda amaran demensia.
Antara petanda awal demensia ialah:
• Hilang ingatan terkini, misalnya gagal mengingati peristiwa atau pertemuan yang baru berlaku
• Sukar merancang atau menyelesaikan masalah seperti mengikut resipi, menguruskan kewangan atau mengendali ubat-ubatan.
Sukar menyelesaikan tugasan yang biasa dilakukan misalnya memasak, memandu kereta atau menggunakan peralatan.
• Keliru masa dan tempat iaitu mereka mungkin hilang jejak tarikh, masa atau keberadaan semasa. Mereka juga berisiko tersesat di tempat yang biasa dikunjungi.
• Sukar memahami imej visual dan perhubungan ruang seperti kesukaran memahami peta atau mengikut arah.
Mereka juga mungkin menghadapi masalah menilai jarak atau menentukan saiz objek.
Gangguan bahasa seperti kesukaran mencari perkataan yang betul atau menggunakan perkataan yang salah semasa berkomunikasi.
• Tersalah letak sesuatu benda dan gagal menjejaki semula langkah. Individu menghidap demensia mungkin kerap tersalah letak sesuatu benda dan lupa di mana mereka meletakkannya.
Mereka juga mungkin mengalami kesukaran menjejaki semula langkah mereka.
• Daya pertimbangan merosot atau lemah mungkin membuat keputusan tidak betul, seperti memberi sejumlah wang yang banyak atau tegas nak memandu apabila mereka tidak lagi berkeupayaan untuk melakukannya.
• Tarik diri daripada melakukan kerja atau aktiviti sosial yang pernah mereka gemari. Mereka juga mungkin menjadi terasing dan mengelak daripada berinteraksi dengan orang lain.
• Perubahan dalam emosi dan tingkah laku seperti menjadi murung, cemas atau mudah marah.
Mereka juga mungkin mengalami perubahan personaliti, seperti menjadi lebih pasif atau mengasingkan diri.
Faktor risiko
Beliau berkata, beberapa faktor risiko menyumbang demensia antaranya:
• Fizikal tidak aktif iaitu kurang
melakukan senaman
• Merokok
• Pengambilan alkohol secara berlebihan
• Kecederaan atau trauma kepala misalnya disebabkan oleh kemalangan, bersukan atau terjatuh.
• Jarang berhubungan sosial. Orang ramai, terutama warga emas, sangat digalakkan untuk kekal aktif secara sosial, seperti menyertai kelab atau kumpulan komuniti.
• Kurang atau berpendidikan rendah pada peringkat awal kehidupan boleh menjejaskan rizab kognitif.
• Obesiti (terutama pada pertengahan umur). Mengekalkan berat badan yang sihat melalui diet dan senaman boleh membantu mengurangkan risiko ini.
• Tekanan darah tinggi juga menyumbang kepada masalah kesihatan lain, mengawal tekanan darah dengan baik boleh membantu mengurangkan risiko demensia.
Diabetes, (terutama diabetes Jenis 2), diketahui sebagai faktor risiko yang boleh menyebabkan demensia pada masa akan datang.
Pengurusan diabetes berkesan penting untuk kesihatan keseluruhan dan mengurangkan risiko demensia.
• Kemurungan dikaitkan dengan peningkatan risiko demensia. Ia mungkin berlaku sebelum atau selepas demensia.
• Kurang pendengaran atau individu alami kehilangan pendengaran ada risiko demensia yang jauh lebih tinggi. Alat bantu pendengaran boleh membantu mengurangkan risiko ini.
Menangani masalah pendengaran penting dalam usaha mencegah demensia.
Kepentingan diagnosis awal
Beliau menekankan kepentingan pengesanan awal penyakit demensia.
“Menurut garis panduan ditetapkan, pemeriksaan kognitif rutin tidak disyorkan untuk semua orang, ia hanya disarankan kepada golongan berisiko.
“Bagaimanapun, saringan kognitif ini tidak 100 peratus tepat sepenuhnya. Oleh itu penting mendidik orang ramai mengenai tanda-tanda amaran awal penyakit demensia,” tegasnya.
“Sesetengah keadaan seakan-akan demensia, seperti kekurangan vitamin B12 dan kekurangan hormon tiroid adalah berpotensi untuk sembuh jika dirawat pada peringkat awal.
Berjumpa doktor dan membuat penilaian dengan secepat mungkin sebab diagnosis dan rawatan awal boleh membantu mencegah atau melambatkan kerosakan otak.
Usaha mendiagnosis dan mengurus demensia sangat mencabar bagi pesakit, penjaga dan pengamal kesihatan profesional.
-BeritaHarian