Menara telekomunikasi lewat dibina, liputan 5G dijangka terjejas

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 19 Okt 2022 (The Capital Post): Liputan 5G dijangka terjejas susulan kelewatan pembinaan menara telekomunikasi yang kini hanya berada pada paras 54 peratus daripada keseluruhan 3,518 menara yang disasarkan dibina menjelang akhir tahun ini.

Penganalisis RHB Investment Bank, Jeffrey Tan, berkata pelaksanaan 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB) meliputi 33.2 peratus daripada populasi pada suku ketiga tahun ini dengan 1,915 menara telekomunikasi telah dibina setakat ini.

“Malah, sasaran liputan populasi 4G iaitu 96.9 peratus mungkin sukar untuk dicapai selepas mempertimbangkan faktor lokasi tapak terpencil, dengan liputan pada suku kedua berada pada 95.82 peratus, manakala angka suku ketiga hanya akan diketahui menjelang akhir bulan ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Pada sesi taklimat inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menekankan, bilangan premis yang dilengkapi oleh rangkaian fiber telah mencecah 7.44 juta, lebih rendah daripada 7.5 juta yang disasarkan pada akhir 2022 di bawah Fasa 1 JENDELA meskipun kelajuan jalur lebar mudah alih purata pada 52.48Mbps, lebih tinggi berbanding sasaran 35Mbps.

Dalam laporan JENDELA suku ketiga 2022, sejumlah 241,851 atau 163.9 peratus premis telah lengkap dengan sambungan fiber, manakala naik taraf menara telekomunikasi asas mencapai 1,923 premis melepasi sasaran suku dikaji iaitu 1,793 menara asas.

Berhubung menara 4G baharu, laporan itu mendedahkan sejumlah 89 menara telekomunikasi baharu dibangunkan berbanding sasaran 87 pada suku ketiga tahun ini.

Dari aspek pelaksanaan 5G pula, hanya 944 menara telekomunikasi dibangunkan pada suku ketiga, masih jauh dari sasaran iaitu 1,290 menara telekomukasi yang disasarkan dibina pada suku berkenaan.

Sementara itu, Tan berkata, SKMM berhasrat untuk mengembangkan lagi penyatuan industri, manakala keputusan akhir berhubung harga akses akan bergantung pada input yang diterima daripada peserta industri.

“Syarikat talian tetap terus menjadi pilihan kami kerana prospek pertumbuhan mereka yang lebih mudah untuk dilihat. Risiko utama yang wujud adalah persaingan, kekangan kawal selia dan perolehan lebih lemah daripada jangkaan.

“Justeru, kami mengekalkan saranan ‘neutral’ untuk sektor telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awam (PI) bagi Piawaian Mandatori berkaitan Penetapan Harga Akses (MSAP) telah dilanjutkan ke Januari 2023 berbanding 21 November 2022, bagi membolehkan peserta industri memberikan maklum balas berhubung penilaian harga akses terbabit.

“Tindakan ini mungkin diambil selepas mempertimbangkan pelaksanaan pilihan raya umum (PRU) yang akan datang. Lanjutan ini akan memberikan lebih banyak masa untuk melakukan rundingan industri, khususnya bagi pihak Telekom Malaysia Bhd (TM) untuk mencari alasan lebih kukuh berhubung isu harga akses jalur lebar (untuk tempoh kawal selia 2023-2025), bagi mencerminkan kos akses yang lebih mahal.

“Dalam tindakannya untuk mewajarkan harga akses jalur lebih mahal, ia hendaklah mempertimbangkan isu kenaikan inflasi dan pelaburan fiber yang penting untuk menambah baik liputan, kesalinghubungan, dan kualiti sepanjang tiga tahun lalu,” katanya.

Tan menjelaskan, di bawah siasatan awam diumumkan pada 5 Oktober lalu, badan pengawal selia telah mengusulkan penurunan 41 hingga 52 peratus dalam harga akses jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBA) untuk Layers 2 dan 3 berbanding harga semasa.

“Meskipun hal ini dilihat mendatangkan kesan negatif kepada TM, dan mampu mencetuskan kebimbangan mengenai persaingan harga jalur lebar tetap runcit, kami ambil maklum bahawa harga akses akhir mungkin lebih tinggi daripada cadangan asalnya.

“Dalam penilaian MSAP 2017 lalu, harga HSBA yang dimuktamadkan ialah dua hingga empat kali ganda lebih tinggi daripada cadangan kawal selia,” katanya.

-BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427