Melaka, SPRM, KL, Bomba ke separuh akhir PERR

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA: Melaka menepati sasaran awal mereka untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-102 yang kini sedang berlangsung di bandaraya berkenaan.

Skuad terbabit berjaya mengatasi Terengganu 4-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada aksi tambahan di Stadium Hang Tuah, sementara SPRM pula mara selepas menundukkan Kelantan 1-0 pada aksi suku akhir di Stadium Tun Fatimah petang semalam.

Turut mara ke separuh akhir, pasukan Bomba yang menewaskan ATM 5-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat 0-0 di Komplek Rakan Muda Lendu.

Kuala Lumpur pula menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di padang UiTM Lendu, Alor Gajah sekali gus memastikan skuad Lembah Kelang itu bakal berdepan Bomba di separuh akhir.

Pengurus Melaka, Mohd Razali Omar Othman berkata, sasaran awal melepasi peringkat kumpulan dan mara ke semi final kini berjaya direalisasikan pemain.

Katanya, fokus terarah kepada pertemuan dengan SPRM bagi memastikan pasukan berjaya mara ke final yang dijadualkan berlangsung Ahad ini di Stadium Hang Tuah.

“Sehubungan itu aura sokongan peminat dan keazaman ingin memastikan keputusan memihak kepada pasukan di laman sendiri diharap mampu ditampilkan sekali lagi pada pertemuan kali ini.

“Sememangnya kami menjangkakan saingan amat sengit daripada lawan namun pastinya tiada apa mudah kecuali komitmen dan fokus setiap minit perlawanan sahaja menjadi pegangan pemain untuk melakar sejarah,” kata Mohd Razali.

Menurutnya, sokongan padu presiden Persatuan Bolasepak Melayu Melaka Datuk Mohd Ridhwan Tun Mohd Ali turut membakar kesungguhan pemain dan barisan kejurulatihan bagi memastikan sejarah mampu tercipta buat pasukan terbabit kali ini.

Aksi separuh akhir antara Melaka dan SPRM dijadualkan berlangsung di Stadium Hang Tuah dan Kuala Lumpur bertemu Bomba di padang Henry Gurney Telok Mas jam 4 petang ini.

Juara PERR akan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 manakala naib johan sebanyak RM30,000.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427