Melaka longgarkan aktiviti masjid, surau

Estimate Reading Time: 2 minutes

AYER KEROH: Kerajaan negeri menambah baik serta melonggarkan aktiviti masjid dan surau di negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata jika sebelum ini kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengehadkan kehadiran jemaah di masjid dan surau, kini jumlah itu ditingkatkan kepada maksimum 500 jemaah bagi masjid kerajaan, diikuti masjid kariah (maksimum 250 jemaah) dan surau (maksimum 75 jemaah).

Katanya, jumlah maksimum itu adalah berdasarkan kepada penjarakan fizikal satu meter ketika mendirikan solat.

“Kerajaan negeri juga membenarkan semula solat berjemaah lima waktu selain kuliah Maghrib, bacaan Yasin selepas Maghrib pada hari Khamis malam Jumaat dan pengurusan serta solat jenazah, namun jumlah jemaah adalah bergantung kepada saiz dewan solat masjid atau surau berkenaan manakala solat di luar bangunan masjid atau surau adalah dilarang.

“Kuliah Maghrib, bacaan Yasin dan tahlil pada hari Khamis malam Jumaat adalah dibenarkan dan hendaklah dilaksanakan dalam tempoh masa yang sesuai, bagaimanapun aktiviti kuliah atau program selain kuliah Maghrib dan bacaan Yasin hendaklah ditangguhkan, manakala penceramah dari luar Melaka tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Justeru itu, beliau berkata, ahli jawatankuasa masjid dan surau hendaklah memastikan jemaah mematuhi tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti pendaftaran jemaah, pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Bagi mereka yang tidak berpeluang untuk solat Jumaat hendaklah melakukan solat Zuhur di rumah masing-masing, susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali Ke-7 pada 24 Jun lalu dan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka pada 22 Jun yang menetapkan bahawa kewajipan solat Jumaat gugur ke atas mereka yang tidak terpilih untuk hadir (solat Jumaat) pada hari yang berkenaan dan mereka diwajibkan menunaikan solat Zuhur di kediaman masing-masing.

“Bagi mendoakan keselamatan negeri dan negara supaya dilindungi dari wabak penyakit, semua masjid dan surau Jumaat dikehendaki mengadakan solat hajat dan membaca Qunut Nazilah selepas solat Jumaat selama tiga minggu berturut-turut bermula Jumaat ini,” katanya.

Sementara itu, perkhidmatan permohonan Kebenaran Berkahwin (KB), Temuduga Perkahwinan Islam, pendaftaran perkahwinan, perceraian dan rujuk serta urusan pentadbiran yang berkaitan dengannya seperti carian sijil nikah, cerai dan rujuk akan dibuka melalui temujanji.

Sulaiman berkata, perkhidmatan bagi khidmat nasihat dan runding cara kekeluargaan akan dijalankan secara atas talian atau bersemuka melalui temujanji.

Katanya, dalam tempoh PKP ini juga, majlis akad nikah masih dibenarkan dengan mengikut tatacara ditetapkan seperti lokasinya iaitu Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bagi kariah yang berada dalam zon jingga dan merah, masjid bagi kariah yang berada dalam zon kuning dan hijau atau mana-mana lokasi yang dibenarkan oleh JAIM.

“Tadika JAIM yang mula beroperasi pada 20 Januari lalu akan diteruskan hanya bagi kawasan yang berada dalam zon hijau atau kuning, manakala bagi Tadika JAIM yang berada dalam zon merah dan jingga ditutup sementara sehingga dibenarkan beroperasi.

“Proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah dilaksanakan di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid bagi meringankan bebanan ibu bapa yang terpaksa bekerja di samping dapat melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran secara berkesan kepada anak-anak pra sekolah.

“Murid yang bergejala tidak dibenarkan hadir ke tadika dan yuran bulanan bagi tempoh ketidakhadiran murid sepanjang tempoh PKP hendaklah dipulangkan semula,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427