Mekanik dipenjara 18 bulan terima telefon bimbit yang dirompak

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap kesalahan menerima sebuah telefon bimbit yang merupakan hasil rompakan.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu terhadap Ibnu Sina Idris, 28, setelah tertuduh mengaku bersalah ketika didakwa terhadap tuduhan tersebut pada 7 April lalu.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara dilaksanakan bermula pada tarikh tangkapan pada 26 Mac lepas.

Dia didakwa menerima telefon bimbit jenama Realme milik seorang pengurus bangunan berusia 63 tahun yang diketahuinya adalah hasil rompakan secara berkumpulan.

Mekanik tersebut didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 5 petang, 26 Mac lalu di sebuah rumah di Kampung Tengah, Batu 6 1/4 di Jalan Gombak, di sini.

Ibnu Sina didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Menurut fakta kes, mangsa membuat laporan polis selepas telefon yang sedang digunakannya dirompak oleh dua lelaki bermotosikal ketika dia sedang berbual di atas motosikal di tepi jalan berhampiran Masjid Al-Ubudiah di Segambut kira-kira pukul 8.55 pagi, 6 Januari lalu.

Ibnu Sina yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara yang ringan kerana menanggung tiga anak yang dijaga bekas isterinya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan bagaimanpun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berdasarkan keseriusan kes dan kerugian yang dialami oleh mangsa.-UTUSAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427