PETALING JAYA: MBSB Bank Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Curlec, gerbang pembayaran teknologi kewangan (fintech) untuk merevolusikan penyelesaian pembayaran bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Kerjasama itu akan memperkenalkan alat yang lebih pintar, pantas dan boleh dipercayai untuk perniagaan di seluruh Malaysia serta membantu PKS berkembang dengan mudah dalam ekonomi digital yang kompetitif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef, berkata kerjasama itu merupakan satu perubahan besar bagi pelanggan PKS bank itu.
“Dengan menawarkan penyelesaian pembayaran digital yang lancar melalui Curlec, kami mempermudah urus niaga dan memberi kuasa kepada perniagaan untuk membina ekosistem kewangan digital yang menyeluruh.
“Sama ada mengurus pembayaran, mengautomasikan invois atau merancang langganan, PKS kini boleh memberi tumpuan kepada pertumbuhan tanpa perlu bimbang terhadap ketidakcekapan operasi,” katanya berucap pada majlis memeterai MoU itu di sini, hari ini.
Rafe berkata, pertumbuhan pesat e-dagang dan transaksi digital memerlukan penyelesaian yang cekap.
“Dengan teknologi inovatif Curlec, kami melengkapkan PKS dengan alat untuk berkembang maju dalam persekitaran dinamik ini, memastikan mereka kekal kompetitif sambil menyediakan pengalaman pembayaran yang mudah untuk pelanggan.
“Kerjasama ini juga mencerminkan komitmen MBSB Bank untuk memperkasakan PKS dengan rangkaian lengkap perkhidmatan kewangan di bawah satu bumbung.
“Daripada produk deposit hingga pembiayaan untuk pengembangan, kelestarian dan inovasi, kini dengan keupayaan pembayaran digital yang dipertingkatkan, kami memastikan PKS mempunyai kelengkapan yang diperlukan untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Curlec, Zac Liew, berkata gerbang pembayaran Curlec direka khusus untuk perniagaan dengan menawarkan integrasi lancar, reka bentuk yang berpusatkan jenama dan sokongan untuk pelbagai kaedah pembayaran termasuk kad kredit, FPX serta e-dompet.
“Perniagaan juga boleh memanfaatkan alat seperti pautan pembayaran, halaman pembayaran, e-invois, pengurusan langganan dan kemampuan pembayaran keluar.
“Kerjasama kami dengan MBSB sejajar dengan agenda nasional untuk mempercepatkan penerapan digital dalam kalangan perniagaan di mana dengan alat ini, PKS boleh meningkatkan kecekapan operasi dan mahir dengan ekonomi digital,” katanya.
-BeritaHarian