Maybank perkenal kad kredit mesra alam pertama ASEAN

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Maybank memperkenalkan kad kredit myimpact, kad perbankan mesra alam pertama seumpamanya di ASEAN.

Pengenalan kad kredit Maybank myimpact Visa Signature dan kad kredit Maybank Islamic myimpact Mastercard Platinum yang dihasilkan asid Polylaktik (PLA) sumber bio itu adalah inisiatif terkini yang menjadi mekanisme untuk ahli kad mengesan jejak karbon mereka.

Lebih menarik, kad kredit myimpact menawarkan ganjaran untuk gaya hidup lestari dan pembelian-eko serta membolehkan pengimbangan karbon melalui sumbangan ke arah pelbagai aktiviti perhutanan semula di rantau ini.

Inisiatif Maybank juga sejajar dengan strategi M25+ Maybank untuk menerajui aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terkemuka ASEAN, menggalakkan impak ekonomi yang position, keterangkuman kewangan dan pemeliharaan alam sekitar.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata pengenalan kad kredit myimpact Maybank adalah bukti komitmen kumpulan ke arah melaksanakan tujuannya sebagai platform berasaskan nilai, menggabungkan ciri kemampanan dan prinsip etika ke dalam penyelesaian dan tawaran kepada pelanggan.

“Bagi kad kredit Maybank myimpact Visa Signature dan kad kredit Maybank Islamic myimpact Mastercard Platinum, kami menjangkakan sejumlah 20,000 pelanggan menjelang akhir tahun,” katanya pada pelancaran kad kredit myimpact bersempena Sambutan Ulung Minggu Kemampanan Kumpulan Maybank di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bagi Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong.

Kad kredit myimpact Maybank adalah yang pertama dalam pasaran membolehkan pengguna kad membuat impak positif yang nyata secara sedar melalui perbelanjaan yang bertanggungjawab dan mesra ESG.

Ia juga kad pertama di Malaysia yang menggabungkan penjejak karbon dan keupayaan untuk mengimbangi jejak karbon mereka.

Sementara itu, Kad Kredit Visa Signature myimpact adalah kad kredit konvensional pertama di negara ini yang menawarkan faedah tanpa kompaun, memberikan ketelusan dan kesederhanaan untuk pelanggan.

Khairussaleh berkata, sebagai peneraju pasaran kad, Maybank sentiasa mencari tawaran tambah nilai baharu untuk pelanggan.

“Kami yakin kad kredit baharu ini akan menggalakkan mereka membuat pilihan yang lebih mampan apabila membuat perbelanjaan,” katanya.

Ciri kad kredit myimpact Maybank merangkumi kalkulator jejak karbon khusus untuk ahli kad kredit myimpact Maybank dengan menyediakan anggaran pengiraan kesan bersamaan karbon dioksida (CO2e) untuk pembelian yang dibuat menggunakan kad kredit itu.

Selain itu, kad kredit myimpact Maybank membolehkan ia mengukur jejak karbon dioksida (CO2) dan gas rumah hijau lain yang dikeluarkan secara langsung atau tidak langsung melalui aktiviti tertentu.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427