KUALA LUMPUR, 23 Nov — Malayan Banking Bhd (Maybank) telah melanjutkan tempoh permohonan bantuan pembayaran pinjaman/pembiayaan — kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang terjejas akibat pandemik sehingga 30 Jun, 2021.
Bank itu berkata setakat ini, ia telah memproses lebih 90,000 permohonan bantuan pembayaran balik yang diterima daripada pelanggan dan telah meluluskan semua permohonan yang layak.
“Daripada permohonan yang diluluskan itu, hampir 45 peratus telah diberikan lanjutan penangguhan pembayaran semula pinjaman dan pembiayaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya pembayaran semula bersasar (TRA) itu juga ditawarkan kepada individu B40 yang layak dan pelanggan perusahaan mikro bermula hari ini, 23 Nov sehingga 30 Jun, 2021.
Maybank menjelaskan bagi melayakkan sebagai TRA, pinjaman atau pembiayaan para pelanggan haruslah diluluskan sebelum 1 Okt, 2020 dan tidak tertunggak selama lebih daripada 90 hari daripada tarikh permohonan.
“Para pelanggan yang memohon untuk TRA boleh memilih penangguhan ansuran tiga bulan atau 50 peratus pengurangan terhadap ansuran bulanan selama enam bulan pinjaman atau pembiayaan mereka,” katanya.
Selain itu, ia berkata terdapat pakej komprehensif lain yang turut ditawarkan pihak bank, dan semua permohonan yang berjaya untuk TRA akan berkuat kuasa bermula 1 Dis 2020 hingga 30 Jun 2021.
Katanya, proses permohonan juga telah dipermudahkan bagi kumpulan terpilih seperti B40, perusahaan mikro dan M40.
“Tiada dokumentasi yang diperlukan bagi pelangan B40 dan perusahaan mikro yang memenuhi syarat untuk TRA, manakala pelanggan M40 yang tersenarai dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional, mereka hanya perlu memberikan penyata diri bagi permohonan bantuan pembayaran semula,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai pakej bantuan pembayaran semula Maybank, termasuk TRA, para pelanggan boleh layari www.maybank2u.com.my/covid19 atau hubungi talian hotline pelanggan Maybank di 1-300-88-6688.
— BERNAMA