SEREMBAN: Keuntungan bersih pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd meningkat 37.8 peratus kepada RM63.7 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2023 berbanding RM46.2 juta pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.
Pendapatan pemaju hartanah itu pada suku dikaji turut melonjak sebanyak 44.6 peratus kepada RM331.4 juta berbanding RM229.3 juta sebelumnya.
Syarikat itu berkata, keuntungan bersih lebih tinggi itu adalah pertumbuhan empat suku tahunan berturut-turut ketika kumpulan mendapat manfaat daripada permintaan kukuh yang berterusan untuk hartanah kediaman premium mampu milik di Sendayan Developments, dirangsang oleh kemajuan pembinaan yang dipercepatkan.
Katanya, ini terutamanya apabila syarikat berjaya mengatasi kebimbangan mengenai bekalan pekerja melalui pengambilan pekerja binaan baharu yang membawa kepada peningkatan ketara dalam pembinaan projek, sekali gus meningkatkan lagi pendapatan.
“Hasilnya, pendapatan daripada Sendayan Developments mencatatkan penjualan yang besar sebanyak 55.3 peratus kepada RM300 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024, peningkatan ketara daripada nilai sebelumnya pada RM193.2 juta.
“Sementara itu, perbandaran Bandar Seri Impian di Kluang mencatatkan pendapatan RM8 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024, 46.4 peratus lebih rendah daripada RM14.8 juta yang dicatatkan sebelumnya memandangkan projek sedia ada hampir siap.
“Selain itu, kumpulan baru-baru ini menyiapkan pembangunan pertama di Lembah Klang, The Chambers, dan pembangunan kedua di Australia, M. Greenvale, yang masing-masing mencatatkan pendapatan RM11.1 juta dan RM2.2 juta pada suku dikaji dengan sumbangan minimum daripada baki inventori,” katanya dalam satu kenyataan.
Matrix Concepts berkata, ia terus mencatatkan jualan hartanah baharu yang konsisten sebanyak RM305.3 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 berbanding RM309.2 juta yang dicapai pada tahun sebelumnya.
“Daripada jumlah jualan hartanah baharu pada suku dikaji, 88.6 peratus atau RM270.6 juta dijana daripada pembangunan utama kumpulan, Sendayan Developments yang telah berkembang dalam penerimaan dengan menarik minat lebih besar daripada pembeli rumah Lembah Klang.
“Bagi memenuhi permintaan yang menggalakkan untuk hartanah bertanah berkualiti, kumpulan melancarkan dua pembangunan pada S124 di Sendayan Developments, dengan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) RM188.2 juta.
“Pelancaran ini menampilkan lot banglo di Resort Villa dan 336 unit rumah teres dua tingkat di Tiara Sendayan, menonjolkan rangkaian produk yang terdapat di perbandaran itu,” katanya.
Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin, berkata pihaknya berasa gembira untuk memulakan tahun kewangan dengan kukuh, setelah pulih daripada gangguan yang dialami dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya mengenai ketersediaan pekerja di tapak pembinaan.
“Pertumbuhan yang stabil dalam prestasi kewangan mencerminkan keyakinan kami mengenai prospek kumpulan pada tahun kewangan 2024.
“Rancangan sedang dibuat untuk mempercepatkan aktiviti pembinaan dan kami kini berada dalam kedudukan yang selesa untuk mempercepatkan pelancaran bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, menonjolkan nilai luar biasa yang ditawarkan oleh hartanah berkualiti premium dengan harga mampu milik,” katanya.
– BH