Maszlee perlu bangga letak jawatan bukan sebab rasuah, skandal, kata PSM

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik seharusnya berbangga apabila keputusannya meletakkan jawatan pada Khamis lalu bukan disebabkan isu-isu melibatkan rasuah atau skandal lain, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata walaupun dalam tempoh singkat menjawat tugas sebagai menteri, Maszlee mencapai beberapa kejayaan yang perlu diakui, bukan setakat isu kasut hitam yang disensasikan pihak tertentu bagi merendahkan kredibilitinya.

“Saya diberitahu ramai guru bahawa Maszlee sudah melaksanakan banyak reformasi dalam sistem pendidikan sekolah tetapi kebanyakan reformasi yang dijalankan di peringkat akar umbi tidak berjalan lancar kerana masalah birokrasi.

“Memang tidak mengejutkan apabila Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memandang tinggi terhadapnya. Ramai guru menzahirkan betapa Maszlee menyuarakan sesetengah daripada masalah utama dibangkitkan guru-guru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Arutchelvan berkata Maszlee tidak dinafikan turut melakukan banyak pusingan U selepas membawa isu-isu dibangkitkan rakyat ke Kabinet, seperti isu kuota Bumiputera dan bukan Bumiputera ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan serta isu membabitkan tulisan Jawi.

“Ia mungkin disebabkan beliau kurang pengalaman, seperti yang dinyatakan beliau sendiri atau mungkin beliau seharusnya kurang mengeluarkan kenyataan, seperti dilakukan kebanyakan menteri Pakatan Harapan (PH) yang tidak banyak bercakap, lebih memilih untuk berdiam diri untuk terus hidup.

“Kebanyakan isu adalah isu sukar, seperti isu tulisan Jawi, Matrikulasi dan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC). Isu-isu ini sudah wujud sejak 6 dekad lalu yang mana PH sebagai sebuah pasukan tidak berjaya selesaikan apabila mereka akhirnya memainkan isu perkauman seperti dilakukan Barisan Nasional (BN).

“Jadi, adalah tidak adil untuk Maszlee dipersalahkan apabila akhirnya Kabinet yang membuat keputusan dalam semua perkara, dan sudah tentu ia dikemudi oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Arutchelvan menambah, beliau sendiri menyatakan sokongan dan akan terus bersama Maszlee kerana ahli Parlimen Simpang Renggam itu peduli dengan masyarakat dan membuka peluang serta ruang kepada rakyat.

“Dalam isu lain, Program Sarapan Percuma (PSP), cadangan untuk hotel membuka kolam renang kepada pelajar, tidak lagi meneruskan sistem aliran dan peperiksaan di sekolah, menjadikan pendidikan boleh diakses oleh OKU dan kanak-kanak tanpa dokumen.

“Ini adalah kejayaan besar jika dibandingkan dengan isu kasut hitam yang sering kali dikaitkan dengan Maszlee. Dilaporkan, beliau membuka 10,200 kelas untuk menampung seramai 24,998 kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya.

Menurut Arutchelvan, Maszlee bukan kali pertama meletakkan jawatan kerana sebelum ini pernah meletakkan jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sepanjang tempoh menjadi menteri pendidikan, Arutchelvan mengakui senang berurusan dengan Maszlee.

“Kami sebelum ini sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk bertemu dengan menteri pendidikan yang terdahulu. Individu yang bertemu dengan kami selalunya adalah pegawai dan ketua jabatan, yang tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

“Tetapi, Maszlee bersedia membuat temu janji bertemu dan mengadakan sesi dialog dengan kami. Saya pada awalnya sangat skeptikal sebelum pertemuan itu, berdasarkan imej buruk yang terbentuk dalam fikiran terhadapnya.

“Namun, pada mesyuarat itu, kami terkejut apabila beliau sendiri membaca memorandum yang kami serahkan sebelum itu. Beliau tidak berpura-pura mengetahui segala-galanya, seperti dilakukan kebanyakan menteri. Beliau suarakan cadangan kami dan arahkan pegawainya untuk bertindak,” katanya.

Katanya, lebih mengejutkan apabila Maszlee menyuarakan cadangannya itu ke Kabinet dan kemudiannya mengeluarkan kenyataan media berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dalam pertemuan dengan PSM. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427