Masyarakat Islam Kanada cabar peraturan larang guna simbol keagamaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

TRENTON (Kanada)- Majlis Kebangsaan Muslim Kanada (NCCM) akan mengemukakan bantahan di Mahkamah Agung untuk mencabar tindakan Quebec yang melarang penggunaan simbol keagamaan, lapor agensi berita Anadolu.

Enam hari lepas Mahkamah Rayuan Quebec menolak rayuan untuk menggantung sebahagian undang-undang yang melarang simbol-simbol keagamaan seperti hijab, ketayap, salib dan turban dipakai kebanyakan penjawat awam semasa di tempat kerja.

“Kami memberitahu penduduk Quebec dan Kanada bahawa kami tidak akan berputus asa sehingga undang-undang yang tidak adil ini ditarik balik,” kata pengarah eksekutif NCCM Mustafa Farooq dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Walaupun guru dan pekerja sektor awam yang lain dipaksa meninggalkan pekerjaan mereka, kami akan mendapatkan kebenaran dari SCC (Mahkamah Agung Kanada) untuk menghentikan peraturan yang boleh mencetuskan kegusaran,” katanya.

Sesetengah masyarakat Islam telah dinafikan untuk menjalankan tugas mereka kerana enggan menanggalkan hijab.

Mahkamah rayuan bersetuju bahawa undang-undang baharu itu menyebabkan kemudaratan kepada orang ramai, tetapi menurut hakim, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggantung undang-undang yang diluluskan oleh pegawai dipilih oleh rakyat.

Persatuan Kebebasan Awam Kanada dan segelintir individu turut membantah undang-undang baharu itu.

“Orang Yahudi, Islam, Sikh, Katolik dan lain-lain agama berjuang bersama kami, berdiri teguh bersama. Ia membuahkan hasil. Sokongan terhadap Rang Undang-Undang 21 di Quebec menurun dari 70 peratus kepada 48 peratus,” katanya.

Menteri Qubec François Legault menegaskan undang-undang baharu, yang diluluskan pada lewat musim panas lalu, memisahkan agama dan negara, mempromosi sekularisme dan mendapat sokongan majoriti.

Apabila Perdana Menteri Justin Trudeau berkata kerajaan tidak mencampuri urusan dalam cara berpakaian, tetapi mengamalkan sikap terbuka andai pihak persekutuan mahu terlibat dalam kes itu.

Legault mahu perdana menteri untuk menangguhkannya.

Plaintif perlu menerima kebenaran mahkamah untuk isu itu di bawa ke Mahkamah Agung Kanada. Tetapi dalam perkara ini ia dianggap formaliti dan kes itu dijangka didengar pada Oktober 2020.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427