KUALA LUMPUR- Kontinjen negara perlu meletakkan persiapan menghadapi Sukan SEA Filipina 2019 November ini sebagai keutamaan dalam misi meraih pencapaian cemerlang pada temasya dwitahunan itu, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau berkata ia selepas segala permasalahan serta konflik tercetus melibatkan atlet dan persatuan sukan berjaya diselesaikan sekali gus membuka laluan kepada fokus melakar kejayaan gemilang pada sukan itu dari 30 Nov hingga 11 Dis ini.
“Semua (permasalahan) sudah tamat. Dalam proses perundingan sebelum ini kita ada beberapa persatuan dan atlet yang membangkitkan masalah tersendiri dan sekarang terdapat perkembangan sangat baik,”katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Obor Sukan SEA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.
Meskipun sukan edisi ke-30 itu mempertandingkan 56 acara dengan beberapa acara baharu diperkenalkan, Syed Saddiq optimis kontinjen negara sudah cukup bersedia untuk memberikan cabaran pada temasya sukan itu.
Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memaklumkan Malaysia akan menghantar 1,061 atlet dan pegawai ke Filipina berdasarkan pemilihan dijalankan Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA baru-baru ini.
Beliau berkata pihaknya bersama-sama Majlis Sukan Negara (MSN) akan melihat secara menyeluruh mengenai keseluruhan kos yang perlu dibelanjakan kontinjen negara untuk temasya tersebut.
Mengulas mengenai beberapa venue pertandingan yang didakwa masih belum siap sepenuhnya, beliau berkata ia menjadi ‘adat’ persediaan buat tuan rumah terutama Filipina yang terdapat tiga kluster pertandingan di Metro Manila, Subic dan Clark.
“Tentu banyak isu perlu diselesaikan sebelum hujung November, namun saya yakin dan percaya dengan semangat serta iltizam ditunjukkan kerajaan Filipina dan juga Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC), saya yakin mereka mampu selesaikan semua masalah sebelum 30 Nov ini,” katanya.– BERNAMA