Manfaat teknologi telekesihatan elak bersesak di CAC, PPV

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kesesakan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) ekoran proses mengambil pengujian pengesanan yang lambat dan Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) amat membimbangkan.

Insiden ini dapat dilihat seperti ratusan warga asing dalam keadaan tidak teratur bahkan berpusu-pusu di Rumah Prihatin Grand Seasons untuk mendapatkan suntikan vaksin secara walk in. Ia berpunca salah faham dan berita kononnya premis itu menyediakan perkhidmatan vaksinasi tanpa janji temu untuk bukan warganegara, sedangkan sebenarnya diadakan di PPV Bukit Jalil.

Mereka didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana beratur rapat, bahkan dilihat seakan-akan ‘berpeluk’ akibat ketiadaan penjarakan fizikal. Ini membimbangkan kerana peningkatan kes harian COVID-19 sudah memberi kesan kepada keupayaan sistem kesihatan di negara ini.

Insiden yang berlaku ini memberikan gambaran penggunaan teknologi teleperubatan atau telekesihatan di negara ini perlu dioptimumkan, iaitu melalui penambahbaikan sistem janji temu CAC dan PPV serta pertemuan bersama pakar kesihatan secara maya.

MySejahtera juga sepatutnya mempunyai sistem dapat mengesan kod respon pantas (QR) yang dapat menghantar terus maklumat mengenai individu dalam kuarantin ketika masuk ke sesuatu premis kepada pihak berkuasa.

Penambahbaikan MySejahtera juga diperlukan supaya warganegara atau pendatang asing mendapat maklumat dan terkini, termasuk membabitkan lokasi vaksin tanpa janji temu.

Bagi tujuan penambahbaikan sistem berkenaan, wajar untuk meninjau teleperubatan seperti disebut dalam garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memfokuskan pengguna sebagai subjek utama dan menekankan kerjasama pelbagai sektor dan disiplin.

Ini dengan memanfaatkan kekuatan pelaksanaan transformasi digital, pemilikan secara inklusif, komunikasi dan kebolehgunaan, konteks dan lokalisasi.

Fokus kepada pesakit bermaksud teleperubatan perlu selaras tujuan liputan kesihatan sejagat. Ini memerlukan pengambilan langkah sesuai untuk memastikan kebolehcapaian, kualiti dan kelestarian perkhidmatan melalui dasar, perundangan dan peraturan berkesan.

Bagi masyarakat di negara ini, teleperubatan perlu mengikut keperluan pengguna secara inklusif. Mereka sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat dan perundingan untuk penyakit, termasuk COVID-19.

Pendekatan pelbagai sektor dan disiplin pula memastikan kerjasama membabitkan orang awam serta swasta diperlukan untuk memastikan kejayaan pelaksanaannya.

Kepakaran dan perspektif disiplin kesihatan serta bukan kesihatan, terutama maklumat dan sains sosial, seharusnya dibabitkan sepanjang proses. Semua pihak berkepentingan perlu merumuskan rancangan yang menetapkan perkhidmatan teleperubatan dan kemampuan yang akan dilaburkan selaras strategi kesihatan digital.

Tadbir urus digital kuat perlu disusun dengan garis pertanggungjawaban jelas, termasuk rangka kerja pengurusan projek yang ketat dengan amalan dokumentasi terperinci.

Dari sudut ekuiti dan keterangkuman penggunaan, ia perlu meluas serta merapatkan jurang digital, termasuk dalam konteks peranti digital atau kemahiran. Pertimbangan khas semestinya diberikan migran, penduduk luar bandar dan populasi rentan serta orang kurang upaya (OKU).

Kebolehgunaan dan komunikasi antara muka, fungsi dan pengguna strategi komunikasi perkhidmatan itu, perlu dirancang bersama dengan pengguna akhir dan mematuhi amalan terbaik. Reka bentuk harus mencapai hasil jelas untuk pengguna akhir dan sistem kesihatan.

Di negara ini, BluePrint Telemedicine yang dilancarkan pada 1997, iaitu 24 tahun lalu perlu disemak semula dan diberi penambahbaikan untuk merapatkan jurang teknologi digital mengikut peredaran masa zaman Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan Society 5.0 khususnya bidang kesihatan awam.

Ini bagi memastikan teknologi digunakan, terutama ketika pandemik seperti maklumat secara digital dan maya, perundingan kesihatan, janji temu, garis panduan pemantauan kendiri penyakit dan vaksinisasi diberikan dengan jelas dan tepat, sekali gus mengurangkan kesesakan yang tidak sepatutnya.

Ketua Kluster Pengujian Kebolehgunaan Perisian, Konsortium Industri Kreatif dan Budaya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427